
KUANTAN – Kira-kira 20,000 pengunjung terpukau memandang ke langit apabila Jalur Gemilang gergasi diterbangkan dan dikembangkan pada ketinggian 4,000 kaki dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 4, di sini hari ini.
Aksi penuh debar itu bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan, malah mencipta detik bersejarah apabila penerjunan Jalur Gemilang gergasi seberat lapan kilogram itu bakal diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).
Keunikan aksi berkenaan bermula apabila para penerjun membawa Jalur Gemilang dari udara sebelum bendera berkenaan dibuka pada ketinggian kira-kira 1,219 meter.
Bendera gergasi itu kemudian dikibarkan secara berpasangan sebelum dicantumkan di udara pada ketinggian 305 meter menghasilkan pemandangan cukup mengagumkan buat ribuan pengunjung yang memenuhi kawasan sambutan.
Selepas bendera dicantumkan, ia dipisahkan semula bagi membolehkan para penerjun melakukan pendaratan dengan selamat seorang demi seorang.
Dalam pada itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke sambutan berkenaan.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Jalur Gemilang gergasi ‘gegar’ langit Kuantan appeared first on Kosmo Digital.






