
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan individu tidak dikenali menyamar sebagai majikannya, seorang kerani kewangan terdorong menyerahkan wang syarikat sebanyak RM452,000 kepada sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Wanita berusia 50 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 11.19 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kerani kewangan tersebut menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp daripada individu mengaku kononnya majikannya.
“Suspek meminta mangsa mengeluarkan wang syarikat sebanyak RM452,000 kononnya untuk dibayar kepada dua syarikat tidak dikenali.
“Mangsa yang tidak curiga mengikut arahan tersebut menerusi tiga transaksi ke dalam dua akaun bank diberikan antara 3.53 petang dan 5.24 petang, Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azli berkata, suspek sama kemudiannya menghantar mesej meminta mengeluarkan wang syarikat sebanyak RM235,000 lagi menerusi aplikasi WhatsApp kepada kerani kewangan terbabit pada keesokan harinya.
Beliau berkata, wanita itu yang mula curiga dengan arahan pelik ‘majikannya’ telah memaklumkan perkara itu kepada salah seorang pegawai atas syarikat berkenaan.
“Semakan kemudiannya mendapati pemilik syarikat tersebut menafikan pernah mengarahkan mangsa mengeluarkan wang syarikat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Serah wang syarikat RM452,000 kepada ‘scammer’ menyamar majikan appeared first on Kosmo Digital.




