Seramik Dinasti Qing ditemukan di Bukit Batu Putih

20 Aug 2026 • 3:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Seramik Dinasti Qing ditemukan di Bukit Batu Putih

KUALA PERLIS – Penemuan serpihan seramik dipercayai dari era Dinasti Qing antara abad ke-15 hingga ke-16 di Bukit Batu Putih, di sini membuka lembaran baharu dalam usaha menambah baik sejarah awal penempatan manusia di Perlis.

Kurator Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara, Rokiah Abdul Samat berkata, pihaknya diundang bagi mengenal pasti potensi kawasan tersebut sebagai tapak arkeologi yang mempunyai nilai sejarah.

“Tinjauan awal di kawasan bukit tersebut mendapati terdapat beberapa gua yang berpotensi menyimpan pelbagai artifak bersejarah.

“Melalui tinjauan permukaan yang dijalankan, kami menemukan beberapa serpihan seramik yang dipercayai berasal dari Dinasti Qing dan juga seramik dari Thailand.

“Kami turut menemukan banyak kesan cangkerang labi-labi di kawasan sama yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan aktiviti manusia suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui di Bukit Batu Putih, di sini.

Jabatan Warisan Negara turut diundang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Papan yang dijalankan, di sini.

Menurut Rokiah, hasil penerokaan lanjut di beberapa buah gua menemukan sebuah gua yang mengandungi jumlah artifak yang jauh lebih banyak berbanding lokasi lain.

“Susulan penemuan itu, kami mengambil beberapa sampel artifak untuk dianalisis dan dikaji dengan lebih mendalam.

“Proses kajian itu penting bagi menentukan usia sebenar artifak selain membantu mengenal pasti fungsi serta kaitannya dengan sejarah penempatan di kawasan tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, penemuan seramik berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti migrasi masyarakat dari China selain kemungkinan digunakan dalam upacara pemujaan nenek moyang dan kegunaan harian.

Dalam pada itu, Rokiah turut memohon kerjasama orang ramai termasuk penggemar aktiviti pengesanan menggunakan alat pengesan logam supaya bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara sekiranya menemukan sebarang artifak lama yang mempunyai nilai sejarah.

Katanya, kerjasama itu penting bagi membolehkan siasatan dan pentarikhan dilakukan, sekali gus membantu menambah baik fakta sejarah negara.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri juga diharap dapat memberi kebenaran kepada Pesuruhjaya Warisan untuk mewartakan tapak yang mempunyai nilai signifikan tinggi sebagai tapak warisan di Perlis. – KOSMO! ONLINE

The post Seramik Dinasti Qing ditemukan di Bukit Batu Putih appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved