
SHAH ALAM – Seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan sebilah parang selepas diserang dua lelaki dalam pergaduhan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Taman Sri Muda di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa berusia 38 tahun yang parah di tangan kiri kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pergaduhan itu dipercayai membabitkan sekumpulan lelaki menggunakan parang dan objek menyerupai pistol.
“Laporan polis dibuat oleh mangsa dengan menyatakan diserang dua lelaki sehingga menyebabkan tangan kirinya parah selepas ditetak menggunakan sebilah parang.
“Kes disiasat mengikut 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki objek yang menyerupai senjata api.
Justeru katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki parah ditetak dalam pergaduhan di Taman Sri Muda appeared first on Kosmo Digital.





