Serangan anjing: Pemilik dikompaun RM250, lesen dibatalkan

1 Sep 2026 • 5:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Serangan anjing: Pemilik dikompaun RM250, lesen dibatalkan
Tangkap layar video berdurasi beberapa saat yang memaparkan seekor anjing yang didakwa sebagai baka pit bull menyerang dan menggigit seekor anjing lain di Pearl Hill tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Pemilik yang anjingnya terlibat dalam kejadian menyerang dan menggigit anjing lain di Pearl Hill, Tanjung Bungah pada Sabtu lalu dikenakan kompaun RM250 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Memetik daripada The Star, MBPP dalam kenyataan pada Selasa berkata, lesen anjing berkenaan turut dibatalkan manakala haiwan terbabit masih belum diserahkan semula kepada pemiliknya.

Menurut MBPP, tindakan kompaun itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Pulau Pinang (Anjing) 1977.

“Lesen anjing pemilik telah dibatalkan dan dia dikenakan kompaun RM250.

“Pemilik memaklumkan bahawa terdapat individu lain yang membawa anjing berkenaan berjalan pada hari kejadian,” katanya.

MBPP berkata, pihaknya turut menasihatkan pemilik supaya membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Pada Sabtu lalu, video berdurasi beberapa saat yang memaparkan seekor anjing yang didakwa sebagai baka pit bull menyerang dan menggigit seekor anjing lain di Pearl Hill tular di media sosial.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, selain mengundang persoalan mengenai keadaan yang menyebabkan serangan tersebut serta tindakan yang boleh dikenakan terhadap pemilik anjing berkenaan.

Susulan kejadian itu, MBPP menyita anjing terbabit sebelum kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) untuk siasatan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Bagaimanapun, JPVPP memaklumkan tiada peruntukan jelas di bawah akta berkenaan bagi kesalahan melibatkan pergaduhan antara anjing.

Menurut JPVPP, semakan terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] mendapati tiada peruntukan jelas di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik susulan kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan tersebut.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved