KLANG - Selain seorang lelaki yang menjadi sasaran kecaman selepas insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar bernama ‘Rocky’, seorang wanita yang dikatakan sebagai pemilik haiwan itu juga, akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Wanita berusia 40-an berkenaan dijangka berdepan beberapa pertuduhan di dua mahkamah berasingan.
Sumber mengesahkan wanita itu antara individu yang akan dituduh hari ini.
“Ya, betul,” katanya.
Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap kedua-dua individu itu akan dibacakan pada jam 9 pagi di hadapan Hakim, Mujib Saroji.
Selain itu wanita berkenaan berdepan pertuduhan lain di hadapan Majistret, A Karthiyayini.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan seksyen dan akta yang akan digunakan bagi mendakwa kedua-dua individu berkenaan kerana pertuduhan hanya akan ditentukan dan dibacakan di mahkamah kelak.
Isnin lalu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian.
Muhammad Rafique berkata, mereka akan hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi, 20 Ogos.
Sebelum ini, pemuda berkenaan menjadi sasaran kemarahan netizen selepas video yang mendakwa dia bertindak kejam dengan menyeksa sehingga menyebabkan kematian Rocky di Taman Telok Gedong Indah di sini pada 29 Julai lalu tular di media sosial.
Sementara itu, Muhammad Shah Idham Nor mengaku terkejut selepas menerima waran bagi menjawab pertuduhan, dipercayai di bawah Akta Kebajikan Haiwan.
Dia yang bekerja sebagai penghantar barang turut menegaskan isu kematian Rocky tidak seharusnya dikaitkan dengan sentimen perkauman kerana hubungan antara penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan kekal baik.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes kematian Rocky di mahkamah.
Beliau berkata, masyarakat seharusnya memberi kepercayaan dan ruang kepada pihak berkuasa serta membiarkan proses perundangan berjalan selepas siasatan berhubung kes berkenaan selesai dijalankan.






