Serangan, ugutan pemandu e-hailing jejas keselamatan dan pendapatan - PEGJ

12 Jun 2026 • 3:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Serangan, ugutan pemandu e-hailing jejas keselamatan dan pendapatan - PEGJ
Tian Soon bersama PEGJ (enam dari kiri) melawat mangsa yang diserang penumpang dipercayai warga asing dalam kejadian di Skudai, Selasa lalu.

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu e-hailing yang cedera selepas diserang beberapa penumpang warga asing ketika bertugas di Taman Sri Yaacob, Skudai pada Selasa menerima perhatian kerajaan negeri.

Dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa, Goh Koh Meng, 56, cedera pada muka dan badan selepas dipukul oleh penumpang warga asing akibat salah faham hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah di sini.

Mangsa menerima lawatan daripada Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penggiat ekonomi gig yang berdepan risiko keselamatan ketika mencari rezeki.

Bendahari Persatuan Ekonomi GiG Johor (PEGJ), Jaferi Hisham berkata, ziarah tersebut sebahagian daripada inisiatif pihaknya dalam memperkukuhkan agenda kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti ekonomi gig di negeri itu.

Menurutnya, ia turut memberi peluang kepada persatuan serta kerajaan negeri mendapatkan gambaran sebenar mengenai cabaran keselamatan yang dihadapi penggiat industri berkenaan.

“Dalam sesi ziarah tersebut, PEGJ turut menekankan bahawa aspek keselamatan penggiat ekonomi gig perlu diberikan perhatian yang lebih menyeluruh memandangkan golongan ini merupakan antara barisan hadapan yang berinteraksi dengan masyarakat setiap hari.

“Insiden yang menimpa Kong Meng menjadi peringatan bahawa keselamatan pemandu e-hailing tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan komitmen semua pihak untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas dalam keadaan yang selama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Tian Soon bersama PEGJ turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mangsa dan keluarganya bagi meringankan beban yang ditanggung susulan kejadian tersebut.

Jaferi berkata, sebarang bentuk keganasan, ugutan atau serangan terhadap pemandu e-hailing dan p-hailing ketika menjalankan tugas perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan serta sumber pendapatan mereka.

"Setiap penggiat ekonomi gig berhak menjalankan pekerjaan mereka dalam persekitaran yang selamat, terjamin dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan diri serta sumber pendapatan mereka.

"PEGJ yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang," ujarnya.

PEGJ menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan dan keselamatan penggiat ekonomi gig menerusi kerjasama dengan kerajaan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih selamat dan mampan.