Seri Negara kini dibuka semula kepada pengunjung hasil pemuliharaan Khazanah Nasional

15 Dec 2025 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Seri Negara kini dibuka semula kepada pengunjung hasil pemuliharaan Khazanah Nasional
image is not available
liza15/12/2025 - 15:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – Seri Negara, salah satu bangunan paling bersejarah di Malaysia dan lokasi termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, kini dibuka semula selepas pemuliharaan menyeluruh yang dijalankan oleh Khazanah Nasional.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pemuliharaan Seri Negara mengekalkan ciri seni bina asal bangunan dengan meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan kemudahan awam. 

 

“Projek sepanjang 10 bulan ini turut menyediakan Galeri Seri Negara untuk memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai perjalanan negara menuju kemerdekaan.

 

“Pemuliharaan Seri Negara bukan sekadar memulihkan bangunan, tetapi juga menghidupkan semula semangat dan kisah yang membentuk perjalanan sejarah negara. 

 

“Kami berharap Seri Negara akan menjadi ruang inklusif yang mencetus inspirasi, sambil membolehkan rakyat Malaysia dan pelancong menghargai warisan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan semula bangunan berstatus Warisan Negara itu, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Warisan KL untuk memulihara dan memperbaharui bangunan bersejarah penting di Kuala Lumpur.

 

image is not available

 

Selain itu, kafe dan restoran dikendalikan Serai Group turut menawarkan pengalaman menjamu selera yang mengembalikan nostalgia lama kepada pengunjung.

 

Khazanah telah memperuntukkan RM600 juta untuk memulihara lapan bangunan bersejarah di bawah Warisan KL, termasuk Carcosa di Bukit Carcosa dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad. 

 

image is not available
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

Projek ini juga merangkumi pembinaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur untuk meningkatkan akses dan nilai pelancongan di ibu kota.

 

Pengunjung boleh mendaftar untuk lawatan Galeri Seri Negara melalui program Sahabat Seri Negara di [www.serinegara.com.my](http://www.serinegara.com.my). 

 

Galeri kini dibuka kepada orang awam, manakala Serai House dibuka secara tempahan sementara waktu.

 

Pemuliharaan ini sejajar dengan strategi Khazanah untuk memperkukuh Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi, budaya dan pelancongan yang dinamik, serta menyokong pertumbuhan sektor kreatif tempatan.- DagangNews.com

Terkini standard