
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kalendar akademik persekolahan tahun 2026 akan kembali bermula pada Januari, seperti takwim persekolahan sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi surat siaran bertarikh 28 Oktober berkata, sesi persekolahan bagi Kumpulan A akan bermula pada Ahad, 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
Manakala bagi negeri Kumpulan B pula dari Isnin, 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
Kumpulan A
Kumpulan A terdiri daripada sekolah di negeri:
- Kedah
- Kelantan
- Terengganu
Kumpulan B
Kumpulan B terdiri daripada sekolah di negeri:
- Johor
- Melaka
- Negeri Sembilan
- Pahang
- Perak
- Perlis
- Pulau Pinang
- Sabah
- Sarawak
- Selangor
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Wilayah Persekutuan Labuan
- Wilayah Persekutuan Putrajaya
KPM juga telah menyelaras tarikh-tarikh bagi cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun 2026 yang melibatkan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak dan Hari Krismas.
“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali. Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti.”
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib, serta tanpa mengganggu pengoperasian institusi pendidikan,.
“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat.
“Usaha ini menyerlahkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” kata Fadhlina.



