Set Kepala MR Samsung, Google dan Qualcomm Akan Disambungkan Kepada Telefon Pintar

TechnologyDigital
6 Sep 2024 • 9:48 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun lalu Samsung mengumumkan kerjasama dengan Google dan Qualcomm untuk membangunkan sepasang set kepala realiti bergabung (MR). Selepas setahun ia masih belum diperlihatkan dengan laporan mengatakan set kepala ini ditangguhkan selepas Apple Vision Pro diumumkan.

image is not available

Ketiga-tiga syarikat kembali ke meja rekaan untuk menghasilkan peranti baharu yang diharapkan mampu memberikan persaingan kepada Apple. Pagi tadi CEO Qualcomm, Cristiano Amon dalam temubual bersama CNBC mendedahkan set kepala MR yang sedang dibangunkan akan disambungkan kepada sebuah telefon pintar dan bukan sebuah set kepala kendiri seperti Meta Quest dan Vision Pro.

Ini mungkin langkah yang lebih bijak kerana jualan Vision Pro menjunam selepas dilancarkan dengan ini tidak dibantu oleh harga jualannya yang terlalu mahal. Samsung sebelum ini menawarkan kepala Galaxy Gear VR yang menggunakan telefon pintar sebagai skrin dan kuasa memproses.

Amon memberikan sedikit petanda bahawa set kepala baharu yang sedang dibangunkan ialah cermin mata pintar. Apple juga dipercayai sedang membangunkan cermin mata pintar yang lebih mampu milik berbanding Vision Pro. Misteri mengenai peranti ini mungkin hanya akan diketahui tahun depan apabila ia dilancarkan secara rasmi.