Pada Januari lalu saya katakan Samsung Galaxy S24 Ultra ialah Google Pixel untuk global kerana Google pada waktu tersebut hanya melancarkan telefon mereka di pasaran yang terhad. Selepas tujuh bulan berlalu, siri Google Pixel 9 kini memasuki pasaran Malaysia secara rasmi buat pertama kali. Saya boleh katakan kepada anda Google Pixel 9 Pro XL ialah Pixel untuk pengguna lokal yang mantap tetapi dengan beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki. Ini ulasan penuh Google Pixel 9 Pro XL.
Spesifikasi
Google Pixel 9 Pro XL Skrin 6.8″ LTPO OLED, 120Hz
Actua Display, HDR10+Pemproses Google Tensor G4 (4nm) Cip 1 X 3.1 GHz Cortex X4
3 X 2.6 GHz Cortex A720
4 X 1.95 GHz Cortex A720Cip Grafik Mali G-715 MC7 RAM 16GB LPDDR5X Muatan Dalaman 128/256/512/1000 GB UFS 3.1 Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Utama)
48MP f/1.7 (Ultra Lebar)
48MP f/2.8, OIS (Telefoto)Kamera Swafoto 42MP f/2.2 Bateri 5060 mAh
Pengecasan berwayar 37W
Pengecasan nirwayar 23W Pixel Stand
Pengecasan nirwayar 23W Qi
Pengecasan berbalikSIM/Telefoni 1 Nano, 1 eSIM
5G mmWave/Sub 6NFC Ya Bicu Audio Tiada Kalis Air IP68 Sistem Imbasan Pengimbas cap jari ultrasonik
Imbasan wajahHarga Jualan RM 5699 (16/128GB)
RM 6199 (16/256GB)
RM 6799 (16/512GB)
RM 7999 (16/1000GB)
Skrin
Pixel 9 Pro XL dilengkapi skrin 6.8″ LTPO OLED 120Hz dari jenis Actua Display yang terasa lancar apabila digunakan. Keterangan skrin ditingkatkan berbanding siri Pixel 8 dan lebih penting sekali ia menyokong paparan HDR10+. Maaf peminat Dolby Vision, tetapi ciri ini tidak disertakan pada peranti Pixel 9. Saya dapat mengesahkan skrin memang dari jenis LTPO kerana kadar segar semula 1-120Hz dikesan apabila menggunakan aplikasi berbeza menerusi tetapan Developer Options.

Skrin dari jenis rata maka tidak timbul isu kandungan melimpah ke sisi. Sudut pandangan juga baik dan setiap sentuhan dikesan dengan baik. Walaupun di bawah matahari yang terik, kandungan dapat dilihat jelas cuma skrin S24 Ultra yang lebih baik dalam mengurangkan pantulan kerana mempunyai lapisan khas anti silau.
Biometri
Sistem biometri adalah dari jenis pengimbas jari bawah skrin ultrasonik. Kelebihannya ialah imbasan yang lebih pantas, tepat dan boleh digunakan walaupun dalam keadaan jari pengguna basah. Kedudukan sensor pengimbas juga tinggi memudahkan peranti dinyahkunci walaupun peranti dipegang dengan sebelah tangan. Alangkah baiknya jika semua peranti dengan sistem imbasan jari bawah skrin meletakkan sensor pada kedudukan yang lebih ergonomik seperti ini. Sistem imbasan wajah turut boleh digunakan dengan ia juga sepantas imbasan cap jari.

Rekaan
Pixel 9 Pro XL mempunyai tubuh yang terasa tegap dan premium di dalam tangan. Bingkai logam yang berkilat memberikan kemasan yang nampak mewah seakan bingkai iPhone 15 Pro Max. Malahan tidak melampau untuk mengatakan kualiti kemasan dan tubuh siri Pixel 9 di tahap yang sama dengan iPhone 15 Pro Max. Ini bukan perkara negatif kerana peranti Apple terkenal dengan kualiti kemasan yang sangat baik.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Cuma konfigurasi diubah di mana butang kuasa di atas dan butang laras audio pula di bawah tidak seperti pada peranti Android lain. Akibatnya saya kerap kali tersalah tekan butang laras audio apabila cuba mengunci skrin.
Di bawah terdapat port pengecasan USB-C dengan alur kekisi audio di sebelah kiri dan talam SIM di bahagian kanan. Bergerak ke atas terdapat lubang mikrofon dan tingkap berbentuk bujur untuk rangkaian 5G mmWave. Tidak pernah saya melihat tingkap ini pada peranti lain di Malaysia kerana 5G di Malaysia tidak menyokong mmWave.

Sisi tubuh yang rata membuatkan peranti kelihatan sedikit tebal tetapi saya bukan jenis pengguna yang mengeluh peranti sedikit tebal. Ianya bukan isu yang besar. Kerana ia tebal dan rata, peranti boleh “berdiri” seperti Nokia 3310. Badan yang tebal ini kerana kapasiti bateri 5060 mAh yang disertakan dengan Pixel 9 Pro XL. Ini menyebabkan peranti ini terasa berat di dalam tangan. Berat di sini tidak hadir dengan konotasi negatif sebaliknya membuatkan peranti terasa lebih mewah. Sebelum ini Pixel yang pernah saya gunakan terasa murahan kerana kemasan plastik membuatkan ia terasa ringan dalam tangan.

Panel belakang diperbuat daripada kaca yang tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Ia juga membolehkan peranti menyokong pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Bonggol kamera berbentuk bujur mendominasi rekaan belakang. Ianya adalah agak besar dan tebal membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.

Ia menempatkan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 48MP dan lensa telefoto 48MP yang boleh melakukan zum optikal sehingga 5X. Ia senang dibezakan dengan lensa lain kerana berbentuk empat segi. Mungkin lama kelamaan rekaan bonggol bujur baharu ini akan menjadi ikonik seperti bonggol kamera iPhone dan Samsung yang pada awalnya juga dicemuh.
Saya bukan peminat rekaan ini kerana bonggol kamera memanjang pada Pixel 8 pada hemat saya nampak lebih cantik. Tetapi ini ialah pilihan Google dan akan menjadi identiti Pixel untuk beberapa tahun selepas ini.Akhir sekali tubuh ketiga-tiga model melepasi piawaian kalis air dan debu IP68.
Perisian – Google Android Paling Asli

Perisian ialah sebab mengapa ramai ingin menggunakan Pixel. Ia adalah versi Android 14 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik. Perisian ini berjalan dengan cukup lancar sekali pada ketiga-tiga model kerana menggunakan cip Google Tensor G4 terkini. Pada Pixel 9 Pro sebanyak 16GB RAM disertakan tanpa ciri RAM maya kini menjadi ciri standard pada peranti Android lain. Jumlah kuasa memproses yang tinggi dipadankan dengan saiz RAM yang besar memastikan isu “Pixel tak cukup memori” boleh dibakul sampahkan tahun ini.

Selain perisian yang paling ringan, ia masih hadir dengan ciri-ciri eksklusif Pixel. Sebarang ciri baharu akan diterima terlebih dahulu oleh peranti menerusi Pixel Drop. Tidak lagi perlu menanti pengeluar menawarkannya beberapa bulan selepas ia dilancarkan. Kemudian ia menerima sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Hanya Samsung sahaja mampu menawarkan sokongan yang setanding ditawarkan oleh Google.
Alang-alang saya menyeru nama Samsung, saya harus melakukan pengakuan adalah pengguna tegar One UI. Berpindah ke Pixel Launcher memberikan kejutan kepada sistem kerana banyak ciri yang saya gunakan pada peranti Samsung tidak wujud pada Pixel. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan Android tanpa “perisia tambahan” ketiadaan ciri-ciri lazim ini akan dapat dirasakan dengan ketara.
Ciri menarik lain ialah Gemini Nano dijalankan terus pada peranti untuk pelbagai tugasan AI seperti ciri Reimagine dan Pixel Studio. Pixel Studio menjana imej menggunakan AI generatif terus dari peranti tanpa memerlukan internet. Oleh itu imej boleh dijana dalam masa kurang 5 saat.

Reimagine pula mengubahsuai gambar dengan memasukkan prom dalam Google Photos. Sebagai contoh anda mungkin ingin mengubah langit biru menjadi langit merah seperti matahari terbenam. Menukar jalan menjadi sungai yang mengalir deras. Gambar juga boleh diubah komposisinya dengan bahagian yang tiada dijana oleh Gemini.
Terdapat juga ciri Screenshot baharu yang menyimpan semua tangkapan layar dalam aplikasi khas. AI kemudian membaca semua maklumat dalam tangkapan layar seperti nombor telefon, kata laluan WiFi, nombor tempahan kapal terbang dan alamat venue acara. Dari dalam aplikasi pengguna hanya perlu bertanya soalan yang ingin diketahui jawapannya dan Screenshot akan memberikannya berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.

Akhir sekali ialah ciri Add Me yang menambah gambar pengguna ke dalam sebuah gambar yang ditangkap. Dilema ada insan ketinggalan dalam gambar berkumpulan kerana tiada orang boleh mengambil gambar diselesaikan oleh Add Me dengan bantuan AI. Dari kesemua ciri di atas, ini ialah ciri yang paling saya rasakan inovatif dan unik.


Kesemua ciri Gemini Nano sebelum ini seperti menulis mesej, dan emel juga masih disertakan begitu juga dengan Circle to Search yang saya rasakan adalah ciptaan terbaik Google sejak 5 tahun kebelakangan ini dan tiada produk yang hampir dengannya,. Pembeli siri Pixel 9 Pro juga menerima langganan Gemini Pro dengan kemampuan AI yang lebih berkuasa selama setahun secara percuma. Kekuatan Pixel selama ini terletak pada perisian dan tradisi ini diteruskan menerusi siri Pixel 9.

Semua ciri AI di atas adalah menarik tetapi ada satu ciri yang saya rasakan mempunyai banyak kelemahan iaitu Gemini Voice. Gemini Voice ialah pembantu maya baharu yang memberikan pengalaman perbualan seakan dengan manusia sebenar. Apa yang diiklankan tidak sebaik realiti khususnya di Malaysia. Apabila soalan di tanya, Gemini Voice akan memberikan jawapan yang menarik tetapi akan didahului oleh sembang kosong selama 10 saat.
Contohnya jika saya bertanya “di mana restoran makanan sedap berdekatan?” , Gemini Voice akan menjawab “hmm makanan memang sedap dan memberikan khasiat kepada tubuh anda, boleh tetapkan apakah jenis makanan yang anda mahukan? Adakah Western, ringan atau makanan tempatan?”. Semasa berborak Gemini Voice tidak boleh dipotong percakapannya. Terlalu panjang celotehnya sehingga terasa seperti masa saya dibazirkan.

Pada Google Assistant jawapan pantas akan diberikan tanpa perlu mendengar Gemini Voice membebel. Kemudian apabila saranan diberikan, Gemini Voice tidak boleh menunjukkan lokasi restoran di Google Maps kerana ia masih tidak disokong. Ia juga tidak boleh memberitahu apakah acara yang perlu saya hadiri ada pada hari-hari tertentu kerana tidak boleh mengakses Google Calender.
Ini semua boleh dilakukan oleh Assistant. Gemini Voice adalah seperti Elon Musk. Sekali dengar macam bijaksana tetapi bila disuruh memberikan jawapan ia akan cakap berbelit dan kemudian tidak boleh memberikan jawapan tepat yang dikehendaki. Oleh sebab itu saya matikan sahaja Gemini Voice dan menukar kembali ke Assistant yang lebih praktikal.
PENANDA ARAS
Google menghalang pemasangan semua aplikasi penanda aras yang saya gunakan untuk ulasan-ulasan sebelum ini. Apabila Geekbench, dan 3D Mark dicari dalam Play Store, ia mengatakan aplikasi tidak tersedia. Saya cuba mengelat dengan melakukan pemasangan APK secara sisi tetapi ia turut dihalang oleh sistem.
Oleh sebab itu buat pertama kali dalam sejarah Amanz, tiada skor boleh disenaraikan di bawah. Saya akan membiarkan ia kosong pada waktu ini dan akan mengemaskini bahagian ia apabila Google membenarkan semula pemasangan aplikasi penanda aras pada Pixel 9 Pro XL.
Antutu 3D
- Google Pixel 9 Pro XL – N/A
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 1,610,669
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
- Oppo Find N3 – 1,405,149
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 1,361,432
- Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
- iQOO 12 – 2,075,821
Geekbench 6
- Google Pixel 9 Pro XL – N/A
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 1902/6943
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
- Oppo Find N3 – 1537/4561
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 2061/5760
- Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
- iQOO 12 – 2181/6631
3D Mark Wildlife Extreme
- Google Pixel 9 Pro XL – N/A
- Samsung Galaxy Z Fold6 – 4752
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
- Oppo Find N3 – 3654
- Samsung Galaxy Z Flip6 – 4574
- Xiaomi 14 Ultra – 4717/
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657
- iQOO 12 – 5045
Walaupun tidak ada ujian boleh saya lakukan sendiri, terdapat skor untuk Geekbench dan Antutu di laman lain. Seperti yang telah dijangkakan, Tensor G4 adalah sebuah cip pemproses kelas pertengahan yang berada dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 7+ Gen 1. Dari segi prestasi ia berada di belakang Snapdragon 7+ Gen 1 dan ketinggalan berbanding Snapdragon 8 Gen 3 yang digunakan pada peranti mercu terbaik Android tahun ini. Alasan yang berikan Google ialah tumpuan diberikan kepada NPU untuk kemampuan AI dan bukannya kemampuan memproses untuk gaming.

Sungguhpun begitu pengalaman penggunaan Pixel 9 Pro XL adalah lancar tanpa sebarang isu. Aplikasi boleh dipasang dan dilancarkan dengan pantas. Setanding dengan pengalaman menggunakan peranti mercu Android yang lain. Jumlah RAM yang besar memastikan tiada isu aplikasi ditutup apabila dilancarkan dalam jumlah yang banyak. Pengalaman penggunaan majoriti aplikasi tidak terkesan oleh penggunaan pemproses kelas pertengahan,
Yang terkesan ialah apabila menjalankan permua yang memerlukan grafik tinggi. Dalam COD Mobile permua ini boleh dijalankan pada tetapan dan bingkai tinggi tetapi akan mula menjadi sedikit panas selepas beberapa sesi atas talian. Apabila melancarkan COD Warzone Mobile prestasi mula terjejas dengan kadar bingkai tidak begitu stabil dan pemanasan meningkat. Warzone Mobile sehingga kini belum dioptimasikan dengan baik untuk digunakan pada peranti semasa. Malahan pada peranti dengan Snapdragon 8 Gen 3 dan Apple A17 Pro sekalipun isu di atas berlaku.
TELEFONI Dan GPS
Peranti menyokong rangkaian 5G mmWave dan sub 6GHz. Pada rangkaian Celcom Digi yang saya gunakan tiada isu mengakses rangkaian 5G hampir setiap masa. Panggilan suara juga jelas lebih-lebih lagi jika menggunakan VoLTE dan VoWiFi. Prestasi WiFi juga adalah amat cemerlang kerana menyokong WiFi 7. Tidak akan isu rangkaian selular saya hadapi sepanjang tempoh ulasan ini. Perkara yang sama boleh saya berikan mengenai prestasi GPS yang juga pantas dan tepat.

KAMERA
Bercakap mengenai Pixel, kemampuan kamera akan menjadi tumpuan utama kerana ia sudah mencapai tahap legenda. Tahun demi tahun apabila ujian buta dilakukan, majoriti pengguna akan mengatakan kamera Pixel menangkap gambar paling baik, nampak semula jadi dan memuaskan dalam majoriti situasi.
Saya boleh katakan pada anda prestasi kamera Pixel 9 Pro XL meneruskan kejayaan tahun lalu. Gambar diambil bukan sahaja cantik tetapi memaparkan warna yang tepat. Sistem HDR menangkap gambar dengan terang pada waktu yang saya tidak membuatkan kawasan gelap kehilangan keperincian. Mod Portrait kamera adalah yang paling tepat pernah saya lihat pada sebuah kamera telefon pintar. Sampel yang sempat saya ambil adalah seperti di bawah.






Gambar swafoto tajam dan tona warna kulit adalah tepat. Kesan bokeh di belakang juga dalam dilakukan dengan cemerlang. Mod Portrait adalah baik walaupun tidak 100% sempurna. Bahagian helaian rambut pada anak saya tidak dapat dipisahkan dengan baik dengan latar belakang gambar.


Berikut pula adalah beberapa sampel gambar menggunakan mod malam Night Sight. Sumber cahaya tidak nampak pecah dan tiada isu silau melampau ataupun hingar. Lihat kedua-dua menara PETRONAS di bawah yang diambil menggunakan zum 5X. Ia masih nampak tajam dan jelas. Prestasi Night Sight adalah sangat baik pada hemat saya.



Mod zum optikal adalah sehingga 5X dengan pilihan zum digital pada tetapan 10X dan 30X. Apabila mengambil gambar di luar, kualiti zum 30X adalah sangat baik kerana cukup cahaya dan Pixel mempunyai algoritma untuk meningkatkan kualiti gambar. Tetapi apabila dalam keadaan gelap kualiti zum digital hanya boleh dikatakan semenggah sehingga 10X sahaja. Di bawah ialah sampel zum pada tetapan 0.5X, 1X, 5X dan 30X.




BATERI
Bateri 5060 mAh mampu bertahan sepanjang hari. Jika dibuka dari palam pengecas pada jam 6 pagi, ia masih mempunyai 10% caj pada jam 10 malam sebelum saya tidur. Ini adalah penggunaan biasa gabungan 5G dan WiFi di pejabat. Dalam penggunaan lebih intensif, SOT adalah sekitar 7 jam dan hayat bateri sekitar 12 jam yang saya rasakan konsisten dengan peranti Android mercu lain dengan 5G diaktifkan.
Cuma pengecasan adalah perlahan kerana sekadar 37W. Proses mengecas semula bateri adalah sekitar 90 minit kerana Android 14 memperlahankan proses mengecas selepas mencapai 90%. Pernah sekali bateri mempunyai 94% caj tetapi untuk mencapai 100%, Pixel 9 Pro XL mengatakan pada saya ia akan mengambil masa 45 minit. Sistem yang digunakan memberikan kepentingan kepada kesihatan jangka panjang bateri.

Pujian saya berikan kepada Google kerana memberikan anggaran bila pengecasan akan lengkap dengan paparan waktu bukan berapa lama sebelum ia lengkap. Ini adalah paparan waktu mengecas yang lebih intuitif dan saya berharap pengeluar Android lain boleh memberikan pilihan yang sama pada peranti mereka.
Pengecas 37W tidak disertakan dengan Google sekadar memberikan kabel USB-C ke USB-C dengan setiap pembelian.
AUDIO
Dua speaker stereo yang digunakan adalah memuaskan. Dalam majoriti situasi audio adalah seimbang dan jelas. Tidak ada kecelaruan audio kecuali apabila memainkan muzik dengan rentak rancak pada tetapan audio paling tinggi.

PESAING
Google Pixel 9 Pro XL Samsung Galaxy S24 Ultra Apple iPhone 15 Pro Max 6.8″ LTPO OLED,
1344 x 2992
120Hz, HDR10+6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 2800 x 1260,
120Hz, HDR10+6.7″ Super Retina XDR
1290 x 2796,
120Hz, Dolby VisionGoogle Tensor G4 (4nm)
1 X 3.1 GHz Cortex X4
3 X 2.6 GHz Cortex A720
4 X 1.95 GHz Cortex A720Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm)
1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520Apple A17 Pro (3nm)
2x 3.78 GHz Teras Prestasi
4x 2.11 GHz Teras KecekapanMali-G715 MC7 Adreno 750 Apple GPU 12GB LPDDR5X 12GB LPDDR5X
8GB RAM Maya8GB RAM 128/256/512/1000 GB UFS 3.1 256/512/1000 GB UFS 4.0 256/512/1000 GB NVMe Kamera Utama
50MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
48MP f/1.7 (Ultra Lebar)
48MP f/2.8 OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.4, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
10MP f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)Kamera Utama
48MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
12MP f/2.8 OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)Kamera Hadapan
42-MP f/2.2Kamera Hadapan
12-MP f/2.2Kamera Hadapan
12-MP f/1.9IP68 IP68 IP68 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo 5060 mAh
Berwayar 37W
Nirwayar 23W5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W4441 mAh
Berwayar 20W
Nirwayar 15WRM 5699 (16/128GB)
RM 6199 (16/256GB)
RM 6799 (16/512GB)
RM 7999 (16/1000GB)RM 6,299 (16/256 GB)
RM 6,799 (16/512 GB)
RM 7,799 (16/1000 GB)RM 6499 (8/256 GB)
RM 7499 (8/512 GB)
RM 8499 (8/1000 GB)
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Google Pixel 9 Pro XL
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

Kesimpulan
Google Pixel 9 Pro XL pada hemat saya ialah antara peranti terbaik Android sepanjang 2024 dari sudut kualiti binaan, kelancaran perisian, ciri-ciri tambahan, kemampuan fotografi, sokongan peranti dan hayat bateri. Jika anda inginkan peranti Android yang paling tanpa aplikasi gendut yang tidak diperlukan dan menerima kemas kini paling pantas, pilihan anda hanyalah siri Google Pixel 9.

Tetapi harus ditekankan Pixel 9 Pro XL ialah sebuah peranti mercu dengan pemproses kelas pertengahan premium. Prestasinya lebih hampir dengan Realme GT 6 berbanding Galaxy S24 Ultra. Jika anda mencari peranti paling berkuasa, siri Pixel 9 bukan untuk anda.
Juga harus saya katakan jika anda sudah lama menggunakan One UI, Nothing OS, ColorOS, HyperOS, MagicOS dan pelbagai pelancar Android lain, kejutan menggunakan Pixel Launcher tanpa ciri tambahan akan memberikan kejutan kepada sistem. Saya pengguna tegar Samsung dan kehilangan banyak ciri yang sudah digunakan bertahun lamanya membuatkan jiwa saya secara peribadi tidak serasi dengan Pixel.
Pada harga jualan bermula RM5699 ia adalah peranti yang memang agak mahal. Tetapi terdapat lebih banyak perkara positif berbanding negatif pada Pixel 9 Pro XL membuatkan saya boleh sarankan kepada mereka yang inginkan pengalaman Android yang palin “suci”.
Pro
- Rekaan premium sangat selesa dalam genggaman.
- Perisian Android paling asli.
- Kemampuan kamera Pixel bukan gimik.
- Sokongan perisian selama 7 tahun.
- Kalis air dan debu IP68.
- Ciri AI menarik tiada pada peranti lain setakat ini.
Kontra
- Harga agak mahal.
- Tensor G4 di atas kertas tidak setanding Snapdragon 8 Gen 3.
- Pengecasan hanya 37W yang adalah perlahan untuk peranti moden.
- Gemini Voice adalah mengecewakan. Assistant lebih berguna.
- Android asli bukan untuk semua.

