
SEREMBAN: ‘Itu saya tak tahu. Setakat ini, saya yang Menteri Besar.’
Demikian respons Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang bakal menggantikannya menerajui kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Bazar Deepavali Little India Seremban, di sini, semalam.
Ismail menegaskan beliau tidak mengetahui sebarang perkembangan berhubung dakwaan berkenaan dan masih menyandang jawatan Menteri Besar ketika ini.
Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 November ini tidak dapat diadakan sekiranya notis rasmi tidak dikeluarkan dalam tempoh 28 hari sebelum tarikh berkenaan.
Dakwaan mengenai kemungkinan berlaku pertukaran Menteri Besar itu timbul ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut membabitkan institusi adat dan pentadbiran kerajaan negeri.
Sebelum ini, Ismail menegaskan beliau masih mendapat sokongan kesemua 24 ADUN Barisan Nasional (BN) selain menafikan khabar angin mengenai peletakan jawatannya.
Beliau turut memaklumkan persidangan DUN Negeri Sembilan dirancang berlangsung pada 26 November ini, manakala pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan dijadualkan pada 27 November.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan masih berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung tarikh persidangan berkenaan. – UTUSAN
The post Setakat ini saya yang Menteri Besar – Ismail Lasim appeared first on Utusan Malaysia.






