Sejak bila anda dengar saya nak jatuhkan MB? Tidak ada – Jalaluddin

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 2:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sejak bila anda dengar saya nak jatuhkan MB? Tidak ada – Jalaluddin

SEREMBAN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan wujud perpecahan atau kem tertentu dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu susulan polemik politik ketika ini.

Beliau berkata, dakwaan kononnya wujud Kem Jalaluddin dan Kem Ismail Lasim (Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim) hanya cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan kepimpinan parti di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ketua-Ketua Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN hari ini sebelum semua pihak mencapai kesepakatan bahawa tiada sebarang perpecahan dalam parti.

“Sepanjang pengetahuan saya dan rakan-rakan Ketua Bahagian serta ADUN, solidariti dan ikatan UMNO di Negeri Sembilan termasuk BN sangat kuat.

“Kita tidak ada sebarang kem. Kita hanya menjurus kepada tugas dan tanggungjawab untuk melaksanakan mandat yang diberikan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Ogos lalu,” katanya di Wisma UMNO, di sini, hari ini.

ADUN Pertang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan yang turut membincangkan polemik politik negeri dan kedudukan semasa pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan, beliau tidak pernah mempunyai niat untuk menjatuhkan Ismail, selain menafikan dakwaan kononnya UMNO akan membuat keputusan undi tidak percaya terhadap pemimpin itu.

“Sejak bila anda dengar saya nak menjatuhkan Menteri Besar? Tidak ada. Cerita mengatakan hari ini kita akan buat keputusan undi tidak percaya kepada Menteri Besar juga tidak benar.

“Tugas saya sebagai ketua parti adalah memastikan kestabilan politik di negeri ini dapat diperkukuh dari semasa ke semasa, manakala tugas Menteri Besar adalah meneruskan urus tadbir kerajaan,” katanya.

Jalaluddin turut mengakui pernah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, namun menegaskan pertemuan itu bukan satu isu kerana beliau akan sentiasa akur sekiranya dititahkan untuk menghadap baginda. – KOSMO! ONLINE

The post Sejak bila anda dengar saya nak jatuhkan MB? Tidak ada – Jalaluddin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved