
Proses mengisi minyak kini menjadi lebih mudah dengan pengenalan ciri baharu ‘Voice Fuelling‘ dalam aplikasi Setel. Seperti namanya, fungsi ini membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak di stesen PETRONAS hanya melalui arahan suara.

Ciri ini menyokong empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk menjadikannya lebih praktikal serta menyeluruh untuk pelbagai lapisan pengguna di Malaysia. Dengan hanya membuka aplikasi Setel, mengaktifkan Voice Fuelling, menyebut nombor pam dan pembayaran akan diproses secara automatik mengikut tetapan sedia ada.

Ciri Voice Fuelling ini dibangunkan berasaskan fungsi One-tap Fuelling yang sedia ada tetapi kini ditambah dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan proses serta menjadikannya lebih mesra pengguna. Ia turut boleh digunakan untuk semua gred minyak PETRONAS termasuk PRIMAX 95, PRIMAX 97, Dynamic Diesel Euro 5, BUDI95 serta diesel bersubsidi.

Ciri ini mula tersedia melalui aplikasi Setel versi 1.210.0 dengan kemas kini terbaharu 1.211.0 yang dilancarkan pada 9 Oktober 2026. Usaha ini jelas menunjukkan komitmen Setel dalam memperkenalkan inovasi yang mesra pengguna, sekali gus meningkatkan peranannya dalam menawarkan penyelesaian yang praktikal untuk sektor automotif negara.
Sumber: Voice Fuelling | Setel




