sarah07/10/2026 - 16:00 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Setel, aplikasi mobiliti tempatan milik Setel Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS Dagangan Bhd, memperkenalkan ciri berkuasa kecerdasan buatan (AI), 'Voice Fuelling' yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya menggunakan arahan suara.
Kini dalam fasa beta, ciri yang merupakan evolusi daripada fungsi Pengisian One-tap itu tersedia dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, ciri itu dibangunkan bagi memudahkan pengalaman mengisi minyak tanpa pengguna perlu menyentuh skrin aplikasi.
"Daripada perlu sentuh pada skrin, kini cukup sekadar menyebut nombor pam. Voice Fuelling mencerminkan bagaimana AI boleh memberi nilai dalam perkara yang kita lakukan setiap hari," katanya.
Menurut beliau, penggunaan AI bukan sekadar berkaitan teknologi, sebaliknya bagaimana teknologi dapat mengurangkan kesulitan serta menjadikan pengalaman pengguna lebih intuitif dan inklusif.
Beliau berkata keupayaan pengguna berinteraksi dalam bahasa yang biasa digunakan merupakan langkah penting dalam menjadikan teknologi lebih semula jadi dan mudah diakses.
Voice Fuelling direka untuk memenuhi keperluan pelbagai pengguna termasuk pemandu, penunggang motosikal, pengendali fleet dan pemandu e-hailing, selain mereka yang kurang biasa menggunakan aplikasi atau lebih selesa memberikan arahan secara lisan.
Bagi membantu pelanggan menggunakan ciri berkenaan, pengedar PETRONAS dan kru stesen turut akan memperkenalkan Voice Fuelling serta membantu pengguna mengaktifkannya.
Selepas ciri itu diaktifkan dalam aplikasi Setel, pengguna hanya perlu menyebut nombor pam bagi mengaktifkan proses pengisian minyak. - DagangNews.com




