Setia Hingga Ke Hujung Nyawa, Lexi Pergi Sehari Selepas Misi Terakhir 

9 Nov 2026 • 7:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Setia Hingga Ke Hujung Nyawa, Lexi Pergi Sehari Selepas Misi Terakhir 

Hampir sedekad menabur bakti dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), seekor anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lexi, mengakhiri khidmatnya dengan tragis apabila ditemukan mati sehari selepas menyertai misi terakhirnya.

Lexi, anjing baka Labrador Retriever berusia 10 tahun, ditemukan tidak bernyawa di dalam kandangnya pada jam 6.15 pagi Jumaat lalu.

Lebih memilukan, sehari sebelum pemergiannya, Lexi masih setia menjalankan amanah apabila dikerah menyertai operasi mencari seorang individu yang dilaporkan hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, 5 November lalu.

Tanpa disedari, operasi berkenaan menjadi tugasan terakhir buat Lexi yang mula berkhidmat bersama Unit K9 JBPM Sabah sejak dibawa masuk dari United Kingdom pada 2017.

Ketua Cawangan K9 (Unit Pengesan) JBPM Sabah, Calvin Joe Jeafery, berkata Lexi menyertai operasi SAR itu bersama pengendalinya, Arthur Anderson Walter.

Katanya, selepas operasi berakhir dan kembali ke balai, Lexi diberikan penjagaan seperti kebiasaan, termasuk dimandikan dan diberi makan.

“Lexi menghabiskan makanannya dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku selepas pulang daripada operasi.

“Namun, ketika pemeriksaan rutin kandang dilakukan pada keesokan pagi, pegawai bertugas mendapati Lexi tidak memberikan tindak balas apabila dipanggil. Pemeriksaan lanjut mendapati Lexi sudah tidak bernyawa,” katanya.

Menurut Calvin, rekod kesihatan menunjukkan Lexi mempunyai sejarah penyakit jantung tahap dua selain mengalami ketumbuhan pada bahagian gusi.

Katanya, keadaan kesihatan Lexi sentiasa dipantau doktor veterinar dan anjing itu turut menerima rawatan termasuk antibiotik, ubat bagi masalah gastrik serta ubat antiradang.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian Lexi masih belum diketahui dan hanya dapat dipastikan selepas laporan bedah siasat dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

Sepanjang hampir sembilan tahun berkhidmat, Lexi menjalani latihan khusus dalam bidang Wilderness SAR, iaitu pengesanan individu hilang di kawasan hutan dan lokasi yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar.

Pemergiannya menutup lembaran khidmat hampir sedekad bersama Unit K9 JBPM Sabah, dengan operasi di Menggatal itu menjadi misi terakhir yang dilaksanakan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Biarpun Lexi tidak lagi dapat bersama pasukan penyelamat menjejaki mereka yang hilang, jasa dan sumbangannya sepanjang menjalankan tugas akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada perjalanan Unit K9 JBPM Sabah. - Getaran, 9 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved