
SEREMBAN – Selepas 18 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan penguatkuasaan, Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Azrul Rashid Yaakub, 42, meninggal dunia ketika menjalankan tugas dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Senawang, malam tadi.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, Allahyarham mula menyertai agensi itu pada 2008 sebelum ditempatkan di Negeri Sembilan pada 2018.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang anggota yang rajin, bertanggungjawab dan tegas dalam melaksanakan tugas.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada jabatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jasyindar berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pegawai penyiasat polis berhubung kejadian tersebut.
Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan jerebu yang melanda kawasan itu serta faktor lencongan jalan antara perkara yang boleh diteliti, namun menegaskan punca sebenar kejadian bergantung kepada hasil siasatan polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, Allahyarham dilaporkan maut manakala seorang lagi anggota JPJ, Noramirudin Rameli, 32, yang bertugas sebagai Pemeriksa Kereta Motor AB2, mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki dan tulang selangka.- KOSMO! ONLINE
The post JPJ Negeri Sembilan berduka, Mohd. Azrul ‘pergi’ ketika bertugas appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Reaksi Tuanku Muhriz ‘bertemu’ Menteri Besar Negeri Sembilan jadi tular](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-16-at-3.56.23-PM-1024x512.jpeg)



![[VIDEO] Anggota JPJ maut, empat cedera nahas tiga kenderaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/5df2062f-21ef-45b4-b5f2-91f423eb05f7.jpeg)