
MERSING: Sebarang perancangan dan pembangunan melibatkan Rejimen Gerak Khas (RGK) perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Kolonal Komandan Rejimen Gerak Khas.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu perlu dilaksana dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi keselamatan serta kedaulatan negara, bukan sebaliknya demi kepentingan pihak tertentu.
“Apa yang telah diperkenan tidak harus berubah hanya disebabkan kepentingan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap apa yang telah dirancang sebelum ini.
“Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi,” titah baginda pada Majlis Perbarisan Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61, di Padang Kawad Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Kem Iskandar, Mersing, di sini hari ini.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah bahawa kepimpinan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia bertanggungjawab memastikan keperluan RGK melibatkan kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan serta aset operasi.
“Kita tidak boleh selesa dengan keupayaan sedia ada. Oleh sebab itu, tindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerak Khas perlu berada pada tahap terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa depan.
“Setiap rancangan pembangunan dan perolehan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu diberi keutamaan dan perhatian serius, termasuk mengambil kira teknologi terkini, keberkesanan kos, kesesuaian operasi serta keperluan jangka panjang,” titahnya.
Pada masa sama, baginda turut menegur unsur negatif melibatkan pengurusan tertinggi di peringkat kementerian dan juga ATM.
“Saya tahu siapa yang kawal Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Insya-Allah kita akan berjumpa pada masa yang terdekat. Tujuan saya adalah untuk selesaikan ‘kanser’ yang tidak patut wujud dalam ATM.
“Tidak seharusnya wujud ruang untuk kepentingan peribadi. Budaya pilih kasih atau pertimbangan yang tidak berasaskan merit dalam menentukan masa depan seorang anggota, kegagalan sistem dan pengurusan yang dilaksana secara tidak telus akan memberikan implikasi kepada keperluan organisasi,” titah baginda.
Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar setiap warga RGK mengekalkan kemahiran, ketahanan fizikal dan mental, integriti serta kesetiaan kepada raja dan negara berlandaskan Sumpah Prajurit Komando.-UTUSAN
The post Setiap pembangunan RGK perlu dilaksana dengan penuh amanah dan tanggungjawab appeared first on Utusan Malaysia.






