
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) kecewa dengan tindakan rakan pembangkang yang memilih untuk memboikot Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau tidak bersetuju tanggungjawab 221 ahli Parlimen yang sihat perlu terhenti kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sihat.
“Jelas RCI TH bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti, realitinya milik 10 juta pendeposit yang mengharapkan ahli Parlimen memainkan peranan semak dan imbang, mencari solusi tuntas supaya nasib serta maruah mereka terbela.
“Sangat malang, kita di pihak pembangkang, yang paling lantang membawa nama Melayu-Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi golongan Melayu-Islam.
“Kita bukan memboikot Perdana Menteri, kita sedang memboikot amanah kita pada jutaan pendeposit TH,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, pembangkang mempertikaikan status Sidang Khas Dewan Rakyat RCI TH yang didakwa hanya bertaraf penerangan menteri tanpa sebarang keputusan Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak kerajaan memaklumkan bahawa laporan RCI Tabung Haji itu hanya dibentangkan dalam bentuk penerangan menteri.
Menurutnya, status itu berbeza dengan jangkaan bahawa laporan RCI berkenaan akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen sebelum satu ketetapan dibuat.-UTUSAN
The post Syed Saddiq kecewa PN boikot Sidang Khas appeared first on Utusan Malaysia.





