
KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab tinggi.
Beliau berkata, amanah tersebut bukan suatu kemuliaan yang boleh dibanggakan, sebaliknya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan demi agama, bangsa, negeri serta seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Sesungguhnya, pelantikan ini merupakan suatu amanah yang amat besar dan penuh makna.
“Patik amat menyedari amanah ini bukanlah suatu kemuliaan yang boleh dibanggakan, sebaliknya merupakan suatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab yang tinggi demi agama, bangsa, negeri serta seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Taat Setia Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Yang hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta wakil-wakil rakyat Negeri Sembilan.
Ismail berkata, beliau menerima amanah itu dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran.
Katanya, beliau memberi jaminan bahawa amanah serta kepercayaan yang diberikan akan sentiasa dipelihara dan dijunjung sebaik mungkin.
“Patik bersama seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan,” katanya.
Ismail turut menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta institusi Raja Berperlembagaan.
Katanya, institusi Raja Berperlembagaan menjadi payung kedaulatan, lambang penyatuan rakyat serta tonggak kestabilan dan kesejahteraan Negeri Sembilan.
“Patik akan sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, memelihara kemuliaan institusi Diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran Kerajaan Negeri, selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Setiap amanah kepimpinan akan dipersoalkan dan setiap tanggungjawab hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, Ismail mengekalkan penguasaan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dan diumum menang dengan majoriti 4,323 undi menewaskan Mohd. Zuhaimi Md. Yusof dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Mohd. Aidil Abdullah dari Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN
The post Ismail tekad pimpin Negeri Sembilan dengan penuh amanah, tanggungjawab appeared first on Utusan Malaysia.





