
WAJAHNYA mula dikenali ramai menerusi program Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2), namun di sebalik senyuman yang sentiasa terukir, tersimpan satu perjuangan yang tidak ramai tahu.
Itulah realiti yang pernah dilalui Jamilul Hayat atau lebih mesra disapa Pak Hayat yang juga pengurus kepada peserta Hussain yang juga merupakan anak lelakinya.
Warga emas itu membuktikan, usia dan penyakit bukanlah penghalang untuk seseorang itu berubah menjadi lebih positif dan bertenaga.
Bagi penduduk Ipoh, mungkin ada yang mengenali Pak Hayat melalui perniagaan nasi lemak yang diusahakannya bersama isteri tercinta.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik senyuman ketika melayani pelanggan, Pak Hayat sebenarnya bergelut dengan masalah kesihatan paru-paru yang agak kronik.
Penyakit itu membuatkan pergerakan hariannya menjadi sangat terbatas, malah untuk bernafas dengan lancar juga merupakan satu nikmat yang amat dirindukan.
Menyingkap kembali fasa sukar sebelum ini, Pak Hayat mengakui emosinya sering terganggu akibat keadaan fizikal yang cepat letih dan mudah semput.

Keadaan itu mencetuskan rasa trauma yang mendalam sehinggakan waktu pagi yang sepatutnya tenang bertukar menjadi saat yang paling menakutkan buat dirinya.
Lelaki itu sering diselubungi rasa bimbang jika tiba-tiba ditarik nikmat bernafas sebaik sahaja mencelikkan mata.
“Setiap kali saya bangun pagi untuk ambil wuduk di waktu Subuh, saya mesti menjerit ketakutan. Takut sesak nafas,” kata Pak Hayat.
Melihat kepayahan yang ditanggung sejak minggu awal program, pihak penganjur bersama pengasas Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri dan Pengarah Urusan, Dr Kartika Wati Mohamed tampil menghulurkan tangan bantuan.
Sepanjang pertandingan berlangsung, bapa kepada industri kecil ini diberikan pemantauan kesihatan yang sangat rapi termasuklah sesi konsultasi bersama pakar profesional, pemeriksaan berkala, bimbingan menu makanan harian, serta sebuah basikal senaman statik untuk memudahkan dirinya beraktiviti di rumah.
Transformasi bertenaga
Hasil kesabaran dan disiplin yang tinggi, perubahan yang ditunjukkan oleh Pak Hayat sepanjang bimbingan tersebut ternyata sangat luar biasa dan mengejutkan ramai pihak.
Menurut Dr Syid Ayob, data kesihatan warga emas itu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara sepanjang tempoh pemantauan dilakukan.
Perubahan itu bukan sekadar di atas kertas, malah penonton TTMM2 sendiri dapat melihat transformasi bertenaga Pak Hayat yang sebelum ini terpaksa bergantung pada tongkat untuk berjalan.

Pada malam kemuncak program, Pak Hayat bukan sahaja mampu melangkah dengan yakin tanpa sebarang bantuan, malah sempat berjoget dan mendendangkan lagu di atas pentas utama dengan penuh ceria.
Bagi lelaki itu, anugerah kesihatan yang kembali pulih ini adalah hadiah paling bermakna yang mengubah landskap kehidupan seharian dia menjadi lebih tenang dan bahagia.
Tiada lagi drama air mata atau ketakutan yang menghantui dirinya setiap kali fajar menyingsing.
“Bangun pagi rasa macam orang baharu. Yang penting, saya dah tak takut nak ambil wuduk,” luah Pak Hayat dengan nada syukur dan gembira.
Walaupun tirai program realiti tersebut sudah pun melabuhkan tirainya, perjalanan Pak Hayat untuk mengekalkan fasa sihat ini tidak terhenti di situ sahaja.
Pihak produk jenama tersebut komited untuk meneruskan pemantauan kesihatan, bimbingan gaya hidup sihat serta bantuan kewangan selama enam bulan lagi bermula Julai ini.






