Sewa rumah dekat lapangan terbang untuk transit bunga ganja

11 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sewa rumah dekat lapangan terbang untuk transit bunga ganja
Hussein (tengah) menunjukkan bunga ganja yang dirampas. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Sewa rumah dekat lapangan terbang untuk transit bunga ganja
Hussein menunjukkan suspek yang ditahan dalam serbuan di Selangor dan Pulau Pinang. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Taktik sindiket menyewa rumah teres berhampiran lapangan terbang sebagai lokasi transit sebelum bunga ganja diserahkan kepada keldai dadah terbongkar susulan sembilan individu diberkas dalam Op Lejogaster pada 12 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan sembilan suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 51 tahun.

"Kita merampas 270.27 kilogram (kg) bunga ganja dan 0.5 gram methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM21.62 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

Hussein berkata, operasi itu hasil risikan dan pemantauan berterusan pihaknya bagi membongkar rangkaian sindiket pengedaran bunga ganja untuk pasaran antarabangsa.

"Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu dengan mendapatkan bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum membawanya masuk ke Malaysia.

"Bekalan dadah itu kemudiannya disimpan sementara di beberapa buah rumah teres berhampiran lapangan terbang khususnya di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada keldai dadah," katanya.

Menurutnya, empat suspek warga Portugal disyaki sebagai keldai dadah, manakala suspek lain berperanan sebagai koordinator, serta transporter dan ahli sindiket.

"Serbuan pertama pada 12 Julai lalu di hadapan lobi sebuah hotel sekitar Bayan Lepas membawa kepada penahanan dua suspek," katanya.

Katanya, pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan Mazda CX-5 membawa kepada penemuan dua beg bagasi mengandungi 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 31.72kg.

"Pemeriksaan susulan terhadap sebuah rumah di sekitar Bayan Lepas pula menemukan 60 bungkusan lagi disyaki bunga ganja seberat 31.14kg," katanya.

Menurutnya, serbuan kedua pada 3 Ogos lalu di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 10 beg bagasi yang mengandungi 170 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 175.76kg.

"Tindakan susulan kemudiannya membawa kepada penahanan lima warga asing di sekitar Sepang, Selangor," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas dalam tindakan berkenaan ialah dadah disyaki methamphetamine seberat 0.5 gram.

**media[3611960]**

Dalam serbuan ketiga pada hari sama, polis menahan seorang lagi suspek di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang.

"Pemeriksaan terhadap dua beg bagasi menemukan 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 31.65kg," katanya

Hussein berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu merosakkan kira-kira 630,000 orang pengguna.

"Saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang lagi positif methamphetamine, amphetamine dan benzo.

"Semakan rekod jenayah lampau pula mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod berkaitan kesalahan dadah," katanya.

Dalam pada itu, Hussein berkata, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap harta yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

"Pelbagai harta dianggarkan bernilai RM117,172 disita termasuk dua utas rantai, seutas gelang, dua bentuk cincin, sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy S23, sebuah komputer riba Samsung dan sebuah kenderaan Honda CR-V," katanya.

Hussein berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan JSJN dalam mematahkan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai laluan dan menggunakan keldai dadah untuk menyeludup bunga ganja ke pasaran antarabangsa.

"JSJN akan terus memburu, membongkar dan melumpuhkan setiap rangkaian sindiket dadah antarabangsa yang cuba beroperasi di Malaysia termasuk merekrut dan mengeksploitasi individu sebagai keldai dadah," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved