
SHAH ALAM – Bekalan dadah jenis ganja hidroponik cuba diseludup seorang lelaki Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dipercayai diperoleh dari Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat terperinci mengenai individu berkenaaan antaranya identiti dan warga negara suspek termasuk jadual masa penerbangan.
“Dia (suspek) bawa dadah itu daripada Bangkok. Jadi, kita percaya dia ambil bekalan daripada negara itu.
“Kita akan pantau dari segi sama ada dia melibatkan sindiket di Malaysia atau keldai dadah yang direkrut di Thailand atau negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Hussein berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian serta pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan Hussein mengesahkan penahanan lelaki berusia 54 tahun dari Perak itu oleh pihak berkuasa India di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Sabtu lalu.
Lelaki berkenaan ditahan sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan menerusi penerbangan dari Bangkok, Thailand.
Suspek kini ditahan reman oleh pihak Kastam India untuk siasatan lanjut di bawah perundangan tempatan dan akan disiasat di bawah Narcotics Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu perbicaraan kes.
Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat Malaysia ditahan bawa ganja hidroponik dari Thailand ke India appeared first on Kosmo Digital.






