
KUANTAN – Menyewa tayar pada kadar RM100 hingga RM250 semata-mata untuk melepasi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjadi antara taktik segelintir pemilik lori bagi mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan.
Amalan itu dipercayai sudah dilakukan sejak sekian lama dengan bantuan sesetengah bengkel atau kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan menyewa tayar untuk digunakan ketika pemeriksaan berkala.
Selepas pemeriksaan selesai, tayar yang disewa itu akan dipulangkan kepada pemilik bengkel, manakala tayar lama yang tidak memenuhi ‘syarat’ dipasang semula pada lori berkenaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun dibimbangi boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan, termasuk kemalangan melibatkan kenderaan berat yang meragut nyawa orang lain.
Seorang pemilik lori yang enggan dikenali berkata, kos menggantikan tayar baharu yang tinggi, ditambah pula dengan keadaan perniagaan yang tidak menentu menyebabkan segelintir pengusaha lori memilih jalan tersebut untuk menjimatkan perbelanjaan.
Malah katanya, ada antara lori yang tersadai dan tidak digunakan untuk melakukan kerja, tetapi perlu menjalani pemeriksaan Puspakom menyebabkan pemilik terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos.
“Sekarang ini sukar untuk dapat kerja dan ada juga lori yang tidak digunakan. Ini menyebabkan ada antara pengusaha lori tidak mempunyai modal untuk menukar tayar baharu.
“Pemeriksaan di Puspakom pada masa ini juga agak ketat kerana walaupun nampak bunga masih banyak, tetapi ada yang tidak diluluskan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, meskipun memahami risiko dan keselamatan terhadap penggunaan tayar lama, namun pihak terbabit tidak mempunyai pilihan dan hanya mahu memastikan perniagaan mereka terus bertahan.
Sementara itu, seorang pemilik lori dikenali sebagai Bob berkata, banyak tempat atau bengkel yang menyediakan perkhidmatan menyewa tayar dan ia biasanya diketahui oleh pemilik lori.
Katanya, dengan sewaan kira-kira RM200, bengkel berkenaan akan menyewakan tayar berkenaan yang dapat menjimatkan wang berbanding mengeluarkan kos bagi mengganti tayar baharu yang berharga paling murah RM400 bagi satu tayar.
“Bayangkan kalau kesemua tayar perlu ditukar, sudah berapa banyak kos diperlukan sedangkan ada lori yang hanya digunakan untuk kerja-kerja kampung dan tidak digunakan sepenuhnya.
“Biasanya bayaran kira-kira RM200 dikenakan untuk sewaan tayar bersama rim dan akan dipulangkan semula selepas pemeriksaan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman ketika diminta mengulas mengenai isu itu berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai perkhidmatan penyewaan tayar kepada pengusaha lori dan sedang giat melakukan siasatan serta penelitian lanjut.
Katanya, pemeriksaan turut dijalankan termasuk melibatkan sebuah premis tayar lori di kawasan Gebeng di sini.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat maklumat berhubung perkhidmatan penyewaan tayar kepada pengusaha lori bagi tujuan pemeriksaan berkala di Puspakom dengan kadar bayaran sekitar RM100 hingga RM150 bagi sebuah lori.
“JPJ Pahang akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan aspek keselamatan kenderaan,” tegasnya.
The post Sewa tayar lori RM100 untuk tipu Puspakom appeared first on Kosmo Online.





