
SHAH ALAM – Kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Bukit Talang, Jalan Raja Musa dipercayai berpunca apabila kenderaan dinaiki mereka melanggar lori yang berhenti di bahu kiri jalan disebabkan tayar tengah pecah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, tiga yang maut di lokasi kejadian berusia lapan hingga 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, siasatan mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Exora dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Tanjong Karang dari Bestari Jaya.
“Setibanya di lokasi kejadian, MPV itu melanggar bahagian belakang lori sedang berhenti akibat tayar tengah pecah.
“”Akibat kejadian itu, pemandu wanita berusia 44 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, seorang lagi penumpang MPV berkenaan turut mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ibu bersama dua anaknya maut selepas MPV dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori 20 tan dalam kemalangan di Jalan Raja Muda Musa di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE
The post Tiga beranak maut langgar lori tayar pecah di bahu kiri jalan appeared first on Kosmo Online.





