
Kota Kinabalu: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) mencatat beberapa pencapaian penting tahun lepas, dengan hasil hutan berjumlah RM164.7 juta di tengah-tengah cabaran ekonomi dan perdagangan dunia.
Dalam Laporan Tahunan 2025 setebal 306 halaman yang dilancarkan di Ibu Pejabat Perhutanan di Sandakan, Ketua Konservator Hutan Datuk Zulkifli Suara berkata antara pencapaian itu ialah pengiktirafan rasmi Hutan Simpan (HS) Pin Supu di Kinabatangan sebagai tambahan terestrial pertama Malaysia dalam Senarai Hijau Kawasan Dilindungi dan Dipulihara Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Beliau berkata pengiktirafan oleh IUCN itu diberikan atas kecemerlangan dalam pemuliharaan serta pengurusan kawasan dilindungi.
Katanya, litupan hutan negeri dikekalkan pada 63 peratus, tertinggi antara tiga wilayah di Malaysia, selain 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan tidak lama lagi.
Dari segi perundangan, Enakmen Hutan (Pindaan) 2025 diluluskan bagi mengawal selia aktiviti karbon dan mewujudkan kerangka perdagangan karbon.
Aktiviti berkenaan di kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan tanah bergeran akan dilesenkan mengikut terma dan syarat yang melindungi kepentingan negeri, kata Zulkifli.
“Selain itu, Sabah baru-baru ini meluluskan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam pemuliharaan alam sekitar dan daya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tahun lepas turut menyaksikan pelaksanaan bengkel sulung dan mesyuarat lembaga projek bagi Projek Pengurusan Landskap Bersepadu untuk Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan (Folur) di Sabah, katanya.
Projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) berjaya dilaksanakan, dengan masing-masing 99 peratus dan 99.8 peratus peruntukan bagi projek pembangunan negeri dan Persekutuan dibelanjakan sepanjang tempoh lima tahun itu, katanya.
Maklumat lanjut mengenai laporan tahunan berkenaan boleh diperoleh melalui laman sesawang Jabatan Perhutanan Sabah.





