liza07/09/2026 - 17:08 Gambar drone pemandangan sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu - Ihsan Pejabat MB Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 7 Sept – Terengganu mencatat kutipan hasil negeri sebanyak RM454 juta pada 2025 iaitu paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun tanpa mengambil kira pemberian Persekutuan yang mencerminkan peningkatan keupayaan negeri menjana hasil sendiri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pencapaian itu mencerminkan perkembangan memberangsangkan dalam prestasi hasil negeri dengan jumlah keseluruhan hasil Terengganu mencecah RM1.9 bilion pada tahun berkenaan.
Daripada jumlah RM1.9 bilion itu, sebanyak RM454 juta disumbangkan melalui hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil selain pemberian Persekutuan.
Menurut Ahmad Samsuri, hasil tanah dan galian menjadi antara penyumbang utama dengan kutipan sebanyak RM264 juta daripada jumlah berkenaan.
“Kerajaan Negeri turut menyasarkan prestasi hasil yang lebih baik pada 2026, dengan anggaran kutipan tahun ini dijangka mengatasi pencapaian RM454 juta yang direkodkan pada 2025,” katanya ketika berucap sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ekonomi perlu dipelbagaikan
Ahmad Samsuri berkata peningkatan hasil itu perlu disokong dengan usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri bagi memastikan kedudukan kewangan Terengganu terus mampan.
Pada 2025, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu dengan sumbangan sebanyak 53% serta pertumbuhan 3.6%.
Sektor pertanian pula mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 4.2%, manakala sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing berdepan penguncupan.
Keadaan itu, katanya, menunjukkan struktur ekonomi negeri perlu terus diperkukuh dan dipelbagaikan khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
NIT pacu sumber hasil baharu
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha meneroka sumber hasil baharu bagi memperkukuh keupayaan kewangan negeri menerusi kepelbagaian sumber pendapatan.
Usaha berkenaan dilaksanakan melalui inisiatif New Income Terengganu (NIT), yang merangkumi penerokaan sumber hasil baharu serta penyelarasan dan pelaksanaan langkah berkaitan.
Melalui NIT, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM30 juta hingga RM50 juta setahun.
Secara keseluruhan, kerajaan menyasarkan hasil daripada usaha berkenaan mencecah RM510 juta sehingga 2030.
Ahmad Samsuri pada masa sama menegaskan usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri itu tidak menafikan hak Terengganu terhadap hasil petroleum yang disifatkan sebagai hak negeri dan tidak boleh dipertikaikan. - DagangNews.com






