Shahadzryl raih gelaran berganda Piala Lee Chong Wei

6 Sep 2026 • 8:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Shahadzryl raih gelaran berganda Piala Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain dari Pahang, Shahadzryl Suhaime, mencuri tumpuan pada Piala Lee Chong Wei selepas muncul juara dua acara Bawah 13 tahun (b13) sekali gus membuka peluang buat dirinya dipertimbangkan menyertai skuad kebangsaan.

Shahadzryl, 13, terlebih dahulu menjuarai perseorangan lelaki selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan wakil Pulau Pinang, Jorus Lee, 12-15, 15-12, 15-12 pada aksi final di Stadium Juara, hari ini.

Tidak berhenti di situ, Shahadzryl bergandingan dengan Gan Giap Han untuk menambah koleksi kejuaraan menerusi beregu lelaki selepas menewaskan pasangan Sarawak, Ahmad Aniq Rafiq Mohd Zariffi-Lucas Ho, 15-12, 15-12.

Walaupun memiliki fizikal lebih kecil berbanding Giap Han, gandingan itu sudah beraksi bersama sejak berusia 11 tahun dan Shahadzryl mengakui mereka sepakat menggunakan pendekatan agresif untuk memastikan kemenangan dalam final beregu.

“Sejak awal minggu lagi sasaran saya memang mahu memenangi kedua-dua gelaran, walaupun saya tahu laluan yang menanti bukan mudah kerana ramai pemain bagus.

“Untuk final beregu pula, kami tidak mahu terlalu banyak melakukan pukulan lambung, sebaliknya cuba mengekalkan tekanan dengan terus menyerang sebanyak mungkin.

“Sudah tentu saya sangat gembira dapat menamatkan kejohanan ini sebagai juara dalam kedua-dua acara,” kata Shahadzryl kepada pemberita selepas perlawanan akhir, hari ini.

Shahadzryl dan Giap Han yang kedua-duanya merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) turut menyimpan impian untuk menyarung jersi skuad kebangsaan suatu hari nanti.

“Impian saya juga adalah untuk menyertai skuad kebangsaan dan saya mahu mewakili Malaysia pada suatu hari nanti,” kata Giap Han.

Piala Lee Chong Wei yang memasuki edisi sulung tahun ini dilabel sebagai kejohanan badminton remaja utama negara dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM104,000 menerusi 13 kategori pertandingan.

The post Shahadzryl raih gelaran berganda Piala Lee Chong Wei appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved