ATLET remaja, Shahadzryl Suhaime melakar pencapaian istimewa pada edisi sulung Piala Lee Chong Wei apabila muncul satu-satunya juara berganda selepas mengungguli acara perseorangan dan beregu lelaki Bawah 13 Tahun (B-13) di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.
Pemain yang berasal dari Pahang berusia 13 tahun itu melengkapkan kejayaan berkenaan selepas mengharungi 16 perlawanan sepanjang sembilan hari, termasuk empat aksi kelayakan sebelum meneruskan saingan di peringkat Grand Final.
Dalam final perseorangan, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Jorus Lee Yi H’ng 12-15, 15-12, 15-12 dalam perlawanan sengit.
Beberapa jam kemudian, Shahadzryl kembali ke gelanggang bersama Gan Giap Han untuk memburu gelaran kedua sebelum mereka menewaskan Ahmad Aniq Rafiq Mohd Zariffi-Lucas Ho Ming Joon 15-12, 15-12 bagi melengkapkan kejuaraan berganda.
“Saya sangat gembira dapat memenangi dua gelaran dalam kejohanan ini. Sejak awal lagi, saya memang sudah menetapkan sasaran untuk memenangi kedua-dua gelaran,” kata Shahadzryl.
**media[3638847]**
Menurutnya, strategi utama dalam acara beregu adalah memastikan bulu tangkis sentiasa berada rendah sambil mengambil inisiatif melakukan serangan, manakala dalam perseorangan dia perlu melakukan beberapa penyesuaian berikutan faktor hanyutan bulu tangkis.
Giap Han pula mengakui mereka sedikit gementar ketika berdepan lawan yang mempunyai pengalaman bersama skuad negeri, namun keyakinan antara satu sama lain membantu mereka mengatasi tekanan.
“Kami agak gementar, tetapi tahu kami perlu kekal yakin. Saya sangat gembira dapat memenangi gelaran ini,” katanya.
Walaupun bukan pasangan tetap, Shahadzryl-Giap Han kini memiliki rekod sempurna selepas memenangi ketiga-tiga kejohanan yang disertai bersama, sekali gus menunjukkan keserasian mereka semakin terserlah.
Malah, persefahaman itu turut terjalin di luar gelanggang apabila Shahadzryl berkomunikasi dengan Giap Han dalam bahasa Mandarin, yang dipelajarinya secara beransur-ansur dengan mendengar bekas jurulatih dan rakan-rakan latihannya.
Kejayaan di Piala Lee Chong Wei turut menyemarakkan impian kedua-dua pemain untuk melangkah ke pentas lebih tinggi, termasuk mendapat peluang menyertai program badminton kebangsaan menerusi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Bagi saya, ia sangat bermakna kerana menyertai BAM adalah impian saya sejak kecil. Saya melihat prestasi pemain di sana dan mahu mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan saya,” kata Shahadzryl.
Giap Han turut menyimpan impian sama untuk menyarung jersi negara dan berusaha mencapai kejayaan tertinggi dalam kariernya.
“Sudah menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia dan berjuang sehingga menjadi juara,” katanya.






