
PUTATAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya akan mempertimbangkan kemungkinan bertanding kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan juga berkata ia susulan maklum balas daripada sokongan akar umbi dan penyokong yang mahukan beliau terus mempertahankan kawasan itu.
“Saya mempertimbangkan untuk bertanding pada (PRN17) dengan mengambil kira maklum balas daripada penyokong dan pengundi yang ada di sekitar Dun Tanjung Keramat ini.
“Tidak perlu tergesa-gesa (buat keputusan) sebab masih banyak lagi perundingan antara parti yang ada sekarang. Yang penting kita masih teruskan kerja-kerja di kawasan,” katanya selepas menyempurnakan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam anjuran Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) di Dewan Sri Putatan pada Selasa.
Ditanya sama ada beliau turut mempertimbangkan kemungkinan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Shahelmey menegaskan segala persoalan mengenai perkara itu akan diumumkan kelak.
Bagaimanapun ‘caretaker’ Menteri JKR itu tidak menafikan buat masa ini beliau selesa dengan GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah kususnya kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
“Ya setakat ini selesa (dengan GRS dan PH). Apa pun (tanding atas tiket parti apa) saya akan mempertimbangkannya dan akan umum bila tiba masanya,” tegas beliau.
Ogos lalu Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengesahkan Shahelmey akan bersama GRS seterusnya mewakili gabungan itu pada PRN17 untuk mempertahankan kerusi Tanjung Keramat.
Shahelmey memenangi kerusi itu atas tiket Umno/Barisan Nasional (BN) pada PRN16 lalu sekali gus mewujudkan pakatan kerajaan antara GRS dan Umno/BN sebelum ‘berpatah arang’ sejurus itu.
Ia ekoran cubaan menjatuhkan pentadbiran Hajiji sebagai Ketua Menteri menerusi Langkah Kinabalu yang diketuai Umno pada Januari 2023 namun gagal selepas tidak dapat sokongan wakil rakyat PH dan enam wakil rakyat Umno termasuk Shahelmey.
Susulan itu Umno Sabah diketuai Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebelum ini mengumumkan Shahelmey serta lima wakil rakyat Umno terbabit tidak akan dicalonkan semula pada PRN17.
Shahelmey juga bakal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Putatan yang dimenanginya pada PRU15 lalu jika bertanding atas tiket GRS pada PRN17 ini susulan Undang-Undang Anti Lompat yang telah diluluskan.
Ditanya tentang tindakan Bung yang mencabar agar Shahelmey membuktikan kekuatan pada PRN17 tanpa sokongan Umno/BN beliau menegaskan mandat rakyat yang diperlukan pada masa ini bukannya cabar-mencabar.
Beliau berkata biar rakyat yang menunaikan hak sebagai pengundi bagi memilih pemimpin yang dikehendaki untuk mewakili mereka selepas PRN17 nanti.
“Ini pilihan raya kita ingin dapatkan mandat rakyat bukan cabar-mencabar. Jadi kita pulangkan kepada rakyat untuk tunaikan hak memilih pemimpin yang mereka mahu,” katanya.
Baru-baru ini selain mencabar Shahelmey dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, Bung turut menegaskan kemenangan kedua-dua pemimpin ini pada PRN16 dan PRU15 disebabkan kekuatan Umno/BN.
