
PETALING JAYA – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar memerlukan ‘masa tambahan’ sebelum membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pun sebaliknya.
Buat ketika ini, Shahril menjelaskan beliau harus mengadakan pertemuan untuk mendapat restu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden FAS.
“Saya sudah terima e-mel dari FAM untuk mengesahkan adakah saya nak bertanding atau tidak. Namun saya belum buat keputusan, saya kena bincang dulu dengan Raja Muda Selangor, selepas itu baharu saya buat keputusan.
“Jadi masih ada masa lagi, sebab itu saya masih tidak berkempen dan tidak pergi mana-mana pun. Belum sampai masanya (buat keputusan), mungkin paling lewat 1 September.
“Raja Muda Selangor memang bagi dorongan sebelum ini tetapi pada tahap ini, saya harus bincang dengan bos saya dulu sama ada saya akan pergi (bertanding) atau tidak. Jika Raja Muda restu, saya akan pergi (bertanding),” katanya pada Majlis Pelancaran jersi Selangor FC.
Semua individu yang dicalonkan akan ditapis termasuk saringan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia, selain memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan.
Semua calon yang juga perlu membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak pencalonan selewat-lewatnya pada 2 September ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Shahril menjadi satu daripada tiga nama untuk merebut kerusi Presiden FAM bersama Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan. – KOSMO! ONLINE
The post Shahril belum ada kata putus appeared first on Kosmo Digital.



