Shamsul Iskandar hadir di SPRM, bantu siasatan dakwaan rasuah

LocalPolitics
28 Nov 2025 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shamsul Iskandar
image is not available
Pengamal media menunggu di pekarangan pagar hadapan Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Jumaat.

Shamsul Iskandar hadir sekitar jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

Menurut sumber, kehadiran Shamsul Iskandar adalah sebahagian daripada proses pengumpulan keterangan yang sedang dijalankan SPRM susulan pendedahan dibuat sebuah portal berita baru-baru ini.

**media[3354971]**

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

Beliau berkata, selain Shamsul Iskandar dan Albert, seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular yang memaparkan perbualan bersama ahli perniagaan berkenaan, turut hadir memberi keterangan pada jam 2 petang semalam.

Pada 25 November lalu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

SPRM sebelum ini menegaskan bahawa siasatan sedang berjalan dan semua individu berkaitan akan dipanggil bagi melengkapkan proses mendapatkan bukti yang diperlukan.