
KUALA LUMPUR – Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry semakin hampir merealisasikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya, namun segala-galanya bergantung kepada kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, semua dokumen berkaitan pemain kelahiran Australia itu sudah lengkap dan dihantar kepada FIFA untuk proses semakan.
Beliau berkata, pihaknya kini hanya menunggu keputusan badan induk bola sepak dunia itu yang dijangka diketahui dalam masa terdekat.
“(Dokumen) Shane Lowry sudah lengkap dan kita sudah pun hantar kepada FIFA. Sekarang kita tunggu proses kelulusan FIFA, dalam masa terdekat,” katanya Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan YTL Group & FAM, hari ini.
Kelulusan itu pastinya dinantikan peminat bola sepak tempatan yang mahu melihat pertahanan berpengalaman tersebut menjadi antara pilihan baharu untuk memperkuatkan benteng Harimau Malaya.
Lebih menarik, jika ‘lampu hijau’ diberikan lebih awal, Lowry berpeluang menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang China dan Yemen bulan depan.
Sebelum ini FAM hanya memperoleh kelulusan daripada FIFA yang membolehkan Manuel Hidalgo dan Bergson da Silva beraksi bersama Harimau Malaya, kedua-duanya sudah beraksi pada Piala ASEAN FIFA, baru-baru ini.
Untuk rekod, Malaysia turut menyaksikan beberapa pemain memperoleh status naturalisasi, antaranya Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Romel Morales. – KOSMO! ONLINE
The post Shane Lowry tunggu ‘restu’ FIFA appeared first on Kosmo Online.






