Sheila On 7 Pukau 15,000 Peminat Di Konsert ‘Tunggu Aku Di Pekanbaru’

LocalEntertainment
3 Sep 2024 • 11:28 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Apabila Sheila On 7 mengumumkan tentang siri jelajah ‘Tunggu Aku di' ramai peminat atau Sheila Gank di Malaysia mahu kumpulan ini menyenaraikan negara ini sebagai salah satu persinggahan.

Malangnya, ia tidak terjadi. Sebaliknya, kumpulan itu hanya memilih lima kota di Indonesia untuk siri jelajah ini.

Dek itulah, konsert yang berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan ribuan rakyat Malaysia turut sama membanjiri Stadion Atletik Rumbai, Pekanbaru untuk melompat lebih tinggi dengan kumpulan yang dianggotai oleh Duta, Eros dan Adam ini.

image is not available

Jika anda salah seorang daripada mereka, syabas! Anda telah membuktikan bahawa anda adalah peminat tegar dan sentiasa menyokong Sheila On 7. Bahkan anda pasti tersenyum lebar kerana pulang dengan satu kepuasan.

Seperti konsert-konsert sebelum ini, kumpulan ini tidak pernah mengecewakan setiap yang hadir. Selama dua jam, Sheila On 7 menghanyutkan peminat dengan deretan lagu-lagu ‘berhantu’ yang menjadi siulan ramai.

image is not available

Vokalis Sheila On 7, Duta, masih bertenaga biarpun kini sudah menginjak ke usia 44 tahun. Masih lincah di pentas, dan vokalnya masih mantap. Selain bernyanyi, sesekali Duta menyapa peminat, berbual mesra bagi memastikan mereka terus bersama hingga ke akhir konsert.

Tirai konsert di Pekanbaru dimulakan dengan percikan bunga api diikuti dengan persembahan lagu rancak, Pagi Yang Menakjubkan yang mengundang sorakan gamat daripada peminat. Maklumlah, masing-masing sudah menunggu sedari petang demi mendapatkan ‘spot’ terbaik.

image is not available

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu hits lain seperti Melompat Lebih Tinggi, Pria Kesepian, Jadikan Aku Pacarmu, Bila Kau Tak Disampingku, Dan, Tunggu Aku di Jakarta, Pemuja Rahasia, Lapang Dada dan lagu berhantu, Sephia.

Sepanjang dua jam konsert berlangsung, peminat memang tidak berhenti berlagu, malah turut tampil energetik biarpun masing-masing perlu berdiri. Paling penting tiada kejadian yang tidak diingini, tiada insiden tolak-menolak. Hanya berlagu riang dan bersorak kepuasan.

image is not available

Bagi penulis yang baru pertama kali menonton konsert Sheila On 7 di Indonesia, pengalaman ini cukup menyenangkan. Biarpun bukan di Jakarta, konsert di wilayah Riau itu tidak kalah menariknya. Sheila On 7 selalu menghadirkan kejutan di setiap persembahan, malah sususan muzik untuk setiap lagu hits juga disuntik dengan sentuhan berbeza bagi mencipta nuansa unik.

Dengan kata lain, kejutan-kejutan ini dirancang bagi memastikan peminat pulang dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Peluang menyaksikan konsert Tunggu Aku di Pekanbaru adalah pengalaman yang menyeronokkan, biarpun perlu menempuh trafik sesak pergi dan balik ke stadium.

Buat Sheila Gank di Malaysia, sebelum konsert melabuhkan tirai tempoh hari, Duta seakan memberi ‘hint’ yang mereka mungkin terbang ke Malaysia untuk bertemu peminat yang sudah mula rindu.

image is not available

Untuk Sheila On 7, moga terus sukses dan semoga berjumpa lagi pada siri konsert akan datang! Tahniah juga buat pihak penganjur Antara Suara dan Gold Live Indonesia yang berjaya menampilkan sebuah pentas indah mengagumkan, dan sistem bunyi terbaik.  

Terima kasih juga atas kerjasama dan akses yang diberikan kepada GETARAN untuk membuat iputan. – Getaran, 3 September, 2024

Foto : Antara Suara dan Gold Live Indonesia