Shell NXplorers Malaysia 2026: Pasukan SM Sung Siew juara kebangsaan

LocalTechnology
31 Oct 2026 • 4:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Shell NXplorers Malaysia 2026: Pasukan SM Sung Siew juara kebangsaan

Kota Kinabalu: Pasukan Triangle dari SM Sung Siew, Sabah, muncul juara kebangsaan Shell NXplorers Malaysia 2026 selepas menewaskan lima pasukan lain dari seluruh negara.

Pasukan pelajar itu memikat hati juri menerusi kreativiti, kerjasama dan pendekatan inovatif dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.

Menerusi program Shell NXplorers, golongan muda dicabar untuk berfikir secara berbeza dalam menangani isu kompleks berkaitan makanan, air dan tenaga, selain membangunkan kemahiran berfikir secara kritis, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) serta penyelesaian masalah bagi menghasilkan penyelesaian masa depan.

“Setiap kejayaan besar bermula dengan keberanian untuk bertanya, ‘Bagaimana kalau kita melakukan sesuatu secara berbeza?’ Semangat itulah yang menjadi teras Shell NXplorers.

“Melihat pelajar mengubah cabaran kompleks menjadi penyelesaian kreatif dan praktikal menunjukkan potensi luar biasa golongan muda apabila sifat ingin tahu digabungkan dengan kemahiran dan peluang yang tepat.

“Shell NXplorers bertujuan memupuk potensi itu dan memperkasa pelajar supaya menjadi penyelesai masalah yang yakin serta mampu membantu membentuk masa depan lebih baik,” kata Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain.

Ahli Triangle, Ivan Lam Jun Yin, Alan Romeo Roy Joseph Boguli dan Izz Iqbal Rizqin Mohd Shamsul membangunkan inovasi mereka, DriveShield, yang diinspirasikan oleh keperluan menangani halangan komunikasi di sekolah-sekolah Malaysia.

DriveShield ialah sistem keselamatan jalan raya yang mampu milik dan mesra alam, menggunakan pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan tingkah laku pemanduan berisiko, termasuk mengantuk, menggunakan telefon bimbit, merokok dan mengambil alkohol.

Sistem berkuasa solar itu menyediakan amaran serta-merta dan penjejakan insiden bagi menggalakkan tabiat pemanduan lebih selamat.

Dengan menggunakan peralatan NXthinking, pasukan itu mengembangkan idea mereka menjadi penyelesaian yang mudah diakses, mampu milik dan boleh diperluas, dengan potensi membantu komuniti pekak dan kurang pendengaran di seluruh Malaysia.

“Menjuarai peringkat akhir Shell NXplorers Malaysia merupakan detik membanggakan bagi kami, tetapi melihat idea kami berkembang menjadi penyelesaian yang mampu membawa perubahan menjadikannya lebih bermakna.

“Shell NXplorers mencabar kami melihat masalah daripada perspektif berbeza, berfikir melangkaui perkara yang jelas dan merealisasikan idea kami.

“Pengalaman ini meningkatkan keyakinan kami dan memberi inspirasi untuk menghasilkan penyelesaian yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat,” kata pasukan juara itu.

Sebagai juara kebangsaan, Triangle menerima hadiah berupa lawatan pembelajaran ke Seoul, Korea Selatan, dengan semua perbelanjaan ditanggung.

Tempat naib juara disandang pasukan Theory dari SMK Bandar Bintulu menerusi ciptaan mereka, ElderCare AI, manakala Alvee Aylwin Tan dari SM All Saints menerima anugerah Penyampai Terbaik atas penyampaian yang meyakinkan serta penerangan jelas dan bernas mengenai inovasi pasukannya.

Enam sekolah, masing-masing dua finalis dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, menyertai peringkat akhir kebangsaan selepas muncul juara dan naib juara negeri dalam pertandingan Shell NXplorers Malaysia.

Sekolah finalis ialah SMK Lutong, SMK Bandar Bintulu, SMK Vivekananda di Kuala Lumpur, SMK Tengku Idris Shah di Selangor, SM Sung Siew dan SM All Saints.

Pertandingan akhir itu dinilai panel juri yang terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd Datuk Albert Lo; Penolong Pengarah Kanan Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Sabah Mohd Ridhuan Yusof; serta Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) Alexon Jong.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Perhubungan Korporat Shell Malaysia Cindy Lopez.

Dengan penyertaan lebih 1,000 pelajar dari 29 sekolah menengah di seluruh negara, Shell NXplorers Malaysia menerapkan pembelajaran Stem secara praktikal dengan menggalakkan pelajar meneroka cabaran, berfikir secara kritis dan membangunkan penyelesaian inovatif.

Disokong Kementerian Pendidikan, program itu menggabungkan teknologi, kreativiti dan kerjasama bagi melengkapkan golongan muda dengan kemahiran praktikal untuk menangani cabaran dunia sebenar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved