liza07/09/2026 - 14:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – Tawaran pengambilalihan Batu Kawan Berhad terhadap MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad pada harga 66.26 sen sesaham disifatkan sebagai tidak adil dan tidak munasabah oleh penasihat bebas kepada pemegang saham syarikat berkenaan.
MainStreet Advisers Sdn Bhd berkata harga tawaran itu adalah 59.74 sen atau 47.4% lebih rendah berbanding nilai aset bersih boleh direalisasikan (revised net realisable asset value – RNAV) MKH Oil Palm yang disemak semula pada RM1.26 sesaham setakat 30 Jun 2026.
Menurut MainStreet, perbezaan ketara antara harga tawaran dan RNAV itu sebahagian besarnya mencerminkan penilaian terhadap aset perladangan kumpulan.
Bagaimanapun, MainStreet menjelaskan aset perladangan berkenaan mungkin tidak dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat dan nilainya turut bergantung kepada harga minyak sawit mentah (CPO), hasil tanaman serta keadaan pasaran semasa.
Berdasarkan penilaian itu, MainStreet berpandangan tawaran Batu Kawan pada harga 66.26 sen sesaham tidak memberikan nilai yang sewajarnya kepada pemegang saham MKH Oil Palm.
Tawaran Dianggap Tidak Munasabah
Selain aspek nilai, MainStreet turut menganggap tawaran itu tidak munasabah kerana saham MKH Oil Palm dijangka kekal disenaraikan dan boleh didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas tempoh tawaran berakhir.
Keadaan itu memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan masing-masing melalui pasaran terbuka selepas tarikh tutup tawaran.
Bagaimanapun, MainStreet mengingatkan bahawa tiada jaminan saham MKH Oil Palm akan terus didagangkan pada paras harga atau jumlah dagangan semasa, selepas tempoh tawaran tersebut.
“Pada pandangan kami, tawaran itu tidak adil dan tidak munasabah. Sehubungan itu, kami menasihatkan pengarah yang tidak berkepentingan supaya mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran tersebut,” katanya.
Pemegang saham MKH Oil Palm mempunyai masa sehingga pukul 5 petang pada 17 September 2026 sebagai tarikh tutup pertama untuk menerima tawaran itu, melainkan tempoh tawaran berkenaan dilanjutkan.
Bermula Daripada Pengambilalihan MKH
Tawaran tersebut tercetus susulan langkah Batu Kawan mengambil alih kawalan terhadap MKH Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Whitmore Holdings Sdn Bhd.
Pada 20 Mei 2026, Whitmore memeterai perjanjian untuk memperoleh saham dalam MKH dan MKH Oil Palm, yang pada peringkat awal meningkatkan pegangan langsungnya dalam MKH kepada 29.6% dan dalam MKH Oil Palm kepada 3.9%.
Whitmore kemudiannya membeli sebanyak 18.56 juta saham MKH di pasaran terbuka antara 15 Jun hingga 17 Julai yang terus meningkatkan pegangannya dalam MKH kepada 32.8%.
Pemegang saham Batu Kawan meluluskan pengambilalihan saham tambahan dalam MKH pada 5 Ogos, sebelum perjanjian berkaitan menjadi tanpa syarat pada 6 Ogos.
Batu Kawan Wajib Buat Tawaran
Susulan transaksi itu, pegangan langsung Whitmore dalam MKH meningkat kepada 50.9% yang menjadikan MKH sebagai anak syarikatnya.
MKH dan anak-anak syarikatnya secara keseluruhan memiliki 65.3% kepentingan dalam MKH Oil Palm. Oleh kerana MKH Oil Palm dianggap sebagai syarikat hiliran penting kepada MKH, Whitmore diwajibkan membuat tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat kepada pemegang saham MKH Oil Palm.
Dalam perkembangan berkaitan, prestasi kewangan MKH Oil Palm bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2026 menunjukkan peningkatan ketara, dengan keuntungan bersih melonjak 80.4% kepada RM32.02 juta berbanding RM17.75 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil pula meningkat 49.4% kepada RM117.4 juta daripada RM78.58 juta, didorong jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi. - DagangNews.com



