Shokz OpenFit Pro dilancarkan di Malaysia sebentar tadi. Ia diiklankan sebagai fon telinga nirwayar terbuka yang mampu menawarkan hampir keseluruhan ciri yang diinginkan daripada aksesori audio sejenis ini. Ia turut sesuai digunakan ketika bersenam sama ada di luar mahupun di gim.

Shokz OpenFit Pro menggunakan sepasang pemacu audio berukuran 11 × 20 mm dengan reka bentuk diafragma berkembar yang mampu mencapai sehingga 40kHz. Ia juga dilengkapi sistem tiga mikrofon bersama algoritma Ear-Adaptive yang mampu mengurangkan sehingga 99.4% bunyi latar seterusnya memastikan kualiti audio kekal jelas dalam pelbagai keadaan.

Keseluruhan bahannya pula diperbuat daripada aluminium gred aeroangkasa dengan lapisan khusus serta binaan aloi aluminium premium. Sementara itu, bahagian penyangkut telinga menggunakan aloi nikel-titanium yang nipis bagi memastikan kestabilan yang baik. Kemudian, bahan Shokz Ultra-Soft Silicone 2.0 turut digunakan untuk memberikan keselesaan sepanjang hari.



Shokz turut melengkapkan fon telinga ini dengan teknologi audio canggih yang merangkumi Shokz SuperBoost dan DirectPitch 3.0 yang berfungsi untuk menghasilkan bunyi yang jelas. Selain itu, ia menyokong Dolby Atmos dengan fungsi penjejakan kepala untuk pengalaman audio spatial lebih mendalam. Dari segi kawalan bunyi, pengguna boleh memilih antara lima tetapan EQ di samping mencipta dua profil boleh diubah mengikut keperluan.

Tambatan pantas boleh dibuat melalui bluetooth 6.1 yang turut menyokong fungsi MultiPoint Pairing untuk sokongan sambungan kepada dua peranti secara serentak. Fon telinga ini juga menyokong pengesanan pintar yang membolehkan muzik dimainkan atau dijeda secara automatik apabila dipakai atau ditanggalkan.

Dari segi ketahanan, baterinya mampu bertahan sehingga 12 jam bagi setiap fon telinga dan sehingga 50 jam keseluruhan dengan pod pengecas tanpa sokongan ANC. Bagi yang berminat, Shokz OpenFit Pro dijual di Malaysia pada harga RM1,199 dengan pilihan warna hitam dan putih.



