Pada tahun lepas, Sony telah memperkenalkan aksesori pendingin hawa mudah-alih mereka, Sony Reon Pocket Pro untuk pasaran Asia, dan ia ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM1119. Pendingin hawa ini menyejukkan bahagian badan dan hadir dengan kebolehan untuk mengawal tahap kesejukan udara yang dialirkan.
Terkini, Sony telah memperkenalkan kemaskini kepada aksesori tersebut yang dinamakan Sony Reon Pocket Pro Plus yang mana ia merupakan aksesori yang sama, tetapi hadir dengan kemampuan penyejukan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Sony telah membuat perbandingan penggunaan dalam bilik dengan suhu 35 darjah Celcius, dan model REON Pocket Pro Plus hadir dengan kemampuan untuk menyejukkan badan dua darjah Celcius lebih rendah berbanding sebelum ini.

Sama seperti model sebelum ini, REON Pocket Pro Plus menggunakan sistem penyejukan Peltier yang menggunakan tenaga elektrik untuk menyejukkan bahagian plat penyejukan. Penggunaan kipas hanyalah untuk mengalirkan udara sejuk ke seluruh badan pengguna.
Penyejuk REON Pocket Pro Plus juga akan hadir dengan aksesori alat kawalan yang boleh membantu pengguna untuk mengaktifkan atau mematikan perkakasan tersebut dan menetapkan suhu penyejukan dan kelajuan kipas.
Buat masa ini, perkakasan ini hanya ditawarkan di beberapa negara di rantau Eropah pada harga 199 Euro. Sony belum mengumumkan bilakah ia akan mula ditawarkan di pasaran-pasaran lain. Untuk Malaysia, model Sony REON Pocket Pro masih lagi ditawarkan pada harga RM999.




