
KISAH tragis yang berlaku di Johor Bahru ini benar-benar merentap hati seluruh masyarakat. Tindakan seorang ibu muda yang tergamak menamatkan riwayat darah daging sendiri akhirnya membawa dirinya ke muka pengadilan.
Hari ini, seorang wanita berusia 22 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan, selepas dipercayai mencampak mangsa dari tingkat 10 sebuah flat, bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Lebih menyayat hati, coretan hiba itu mendedahkan bahawa bayi malang yang maut itu sebenarnya mempunyai seorang lagi pasangan kembar yang kini masih hidup.

Disebabkan faktor itu, Pegawai Pendakwa R Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan yang ketat iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk serahan dokumen, menunggu laporan bedah siasat serta keputusan hukuman. Di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kronologi kes: Penemuan mayat hingga ke mahkamah

Bagi memahami bagaimana kejadian pilu ini berlaku, berikut adalah kronologi penuh kes berdasarkan siasatan pihak polis yang dipetik daripada Sinar Harian:
2 Mei 2026 (Sabtu)
Orang awam dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di kawasan parkir kenderaan sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai.
Siasatan awal mendapati bayi yang masih bernyawa itu telah dicampakkan dari tingkat 10 flat berkenaan antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang.
Hasil siasatan lanjut, pihak polis memanggil beberapa orang saksi untuk dirakam keterangan bagi mengumpul bukti kukuh. Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.
2 Jun Mei 2026 (Selasa)
Kira-kira jam 12 tengah hari, hasil risikan mendalam, pihak polis berjaya menahan suspek yang juga ibu kandung mangsa di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
3 Jun 2026 (Rabu)
Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, di mana dia mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.





