'Si perakam bukan AJK surau'

28 Jun 2025 • 7:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita merakam dan menghalau seorang lelaki keluar dari sebuah surau dan tangkap layar hantaran Musolla Halaman 11 memaklumkan wanita terbabit bukan salah seorang AJK surau berkenaan.

image is not available
Tangkap layar komen netizen menerusi Facebook yang memohon wanita terbabit tampil membuat permohohan maaf.

KUALA LANGAT - Wanita yang merakam dan menghalau seorang lelaki dari Musolla Halaman 11 di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, di sini baru-baru ini bukan Ahli Jawatankuasa (AJK) surau terbabit.

Perkara itu dimaklumkan pihak surau berkenaan menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

"Untuk makluman semua, si perakam bukan AJK surau," tulisnya.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 38 saat memaparkan tindakan seorang wanita menghalau seorang lelaki yang sedang duduk di surau berkenaan selepas solat Subuh.

Dalam rakaman itu, wanita berkenaan mendakwa lelaki terbabit tidak dibenarkan untuk solat di surau itu kerana dia bukan penduduk di kawasan terbabit selain pernah berlaku kes kecurian.

Wanita itu juga mendakwa bahawa surau berkenaan adalah harta bersama penduduk yang membayar kos utiliti serta penyelenggaraan surau terbabit selain meminta lelaki terbabit keluar supaya pagar surau dapat dikunci pihaknya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati, orang ramai meminta agar wanita tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka.

**media[3182421]**

Pengguna Facebook, Muhammad Najmi berkata, dia berharap agar pihak surau tidak melindungi wanita tersebut.

"Harap kamu (surau) tidak melindungi orang yang bersalah. Suruh dia (wanita) minta maaf secara terbuka, semasa dia rakam dan muat naik tidak fikir ke?

"Dia anak atau isteri AJK ke, sebab itu dia dilindungi?" soalnya.

Selain itu, pengguna Facebook, Salleh Jaguar turut mempersoalkan mengenai kunci surau yang dimiliki wanita terbabit sekiranya benar dia bukan salah seorang AJK.

"Kalau bukan AJK, kenapa dia berani bersuara dan ada kunci surau? Adab pun tiada, tiba-tiba orang 'sound' (marah) kita, mana ingat mahu tutup lampu," ujarnya.