Siap Sedia, Bank Dunia Beri 'Amaran' Perkara Yang Bakal Berlaku Pada 2027

Business & Finance
29 Oct 2026 • 10:54 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Siap Sedia, Bank Dunia Beri 'Amaran' Perkara Yang Bakal Berlaku Pada 2027

Bank Dunia dalam laporan Tinjauan Pasaran Komoditi Kumpulan yang diterbitkan semalam meramalkan beberapa perkara yang bakal berlaku pada tahun 2027.

Ramalan Bank Dunia

Menurut laporan berkenaan, harga komoditi secara keseluruhan dijangka meningkat 23 peratus pada 2026 sebelum merosot tujuh peratus pada 2027.

Konflik di Asia Barat telah menyusutkan inventori minyak dan dijangka mendorong harga tenaga ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun. Sementara itu, gangguan penghantaran bijirin dan fenomena El Niño mengancam hasil tuaian serta kemampuan orang ramai membeli makanan.

Dengan stok minyak yang semakin berkurangan, dunia kini lebih terdedah kepada kejutan bekalan selanjutnya.

Ketika negara-negara mengambil langkah menangani cabaran ini, Kumpulan Bank Dunia menyediakan pembiayaan dan sokongan melalui instrumen sedia ada, sambil meningkatkan keupayaannya menggembleng modal swasta bersama sumber kewangannya sendiri.

Harga tenaga diunjurkan meningkat 32 peratus pada 2026, sekali gus membalikkan trend penurunan selama tiga tahun, sebelum kembali reda pada 2027.

Baca juga:

Harga minyak mentah Brent diramalkan mencapai purata AS$91 setong pada 2026, meningkat daripada AS$69 pada 2025, sebelum turun kepada AS$79 pada 2027.

Harga komoditi makanan pula dijangka meningkat kira-kira 10 peratus pada 2026 dan naik lagi tujuh peratus pada 2027, menjadikan kenaikan terkumpul sebanyak 18 peratus sepanjang dua tahun tersebut.

Peningkatan itu berlaku apabila konflik mengganggu penghantaran bijirin, El Niño mengancam hasil tuaian, manakala harga bahan api dan baja yang tinggi meningkatkan kos pertanian.

Unjuran tersebut dibuat dengan andaian bahawa konflik yang menjejaskan bekalan komoditi global tidak akan bertambah buruk secara ketara.

Bagaimanapun, harga tenaga boleh meningkat lebih tinggi sekiranya konflik di Asia Barat semakin memuncak dan kerosakan infrastruktur minyak Rusia berterusan.

Pada masa sama, gabungan harga tenaga yang lebih tinggi daripada jangkaan, serangan terhadap penghantaran bijirin di Laut Hitam serta fenomena El Niño yang sangat kuat boleh mencetuskan krisis makanan.

Keadaan itu berisiko menjerumuskan lebih ramai penduduk ke dalam kemiskinan tegar, seperti yang berlaku pada awal 2010-an.

Dalam senario buruk apabila semua risiko tersebut berlaku serentak, harga minyak mentah Brent boleh mencapai purata AS$105 setong pada 2027.

Harga komoditi makanan pula boleh menjadi 12 peratus lebih tinggi berbanding unjuran asas bagi tahun berkenaan, sekali gus melepasi paras pada 2022.

“Pasaran komoditi sedang dilanda beberapa kejutan besar secara serentak,” kata Timbalan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia merangkap Pengarah Kumpulan Prospek, Ayhan Kose.

“Kos tenaga yang lebih tinggi dan gangguan perdagangan sedang menaikkan harga pelbagai komoditi, sekali gus mengancam untuk memburukkan inflasi serta ketidakjaminan makanan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Keutamaan perlu diberikan kepada usaha melindungi golongan paling miskin dan menyokong negara berpendapatan rendah yang sudah bergelut dengan beban hutang yang berat.”

Bagi menyokong negara-negara dalam menangani kesan kenaikan harga, Kumpulan Bank Dunia menyediakan antara AS$50 bilion hingga AS$60 bilion melalui instrumen sedia ada, termasuk AS$25 bilion dalam pembiayaan yang telah diatur lebih awal.

Dana itu boleh digunakan untuk menyokong jaringan keselamatan sosial bagi golongan paling rentan, memperkukuh keupayaan fiskal serta menyediakan modal kerja dan sokongan kecairan kepada syarikat dan perusahaan pertanian.

Pada masa sama, institusi tersebut telah mencapai kemajuan ketara dalam mempercepat dan memudahkan usaha menggembleng modal swasta, di samping pembiayaan serta perkhidmatan pengetahuannya sendiri.

Hasilnya, Kumpulan Bank Dunia berada pada kedudukan yang kukuh untuk melabur dalam pembangunan generasi muda akan datang di negara membangun, khususnya dengan mewujudkan keadaan yang lebih kondusif bagi penciptaan pekerjaan.

Konflik berkenaan turut memaksa perubahan terhadap cara dunia menghasilkan dan menggunakan tenaga.

Bekalan minyak global diunjurkan merosot 5.2 peratus pada 2026, iaitu penurunan terbesar dalam tempoh lebih empat dekad jika tidak mengambil kira kemelesetan global pada 2020.

Sementara itu, penggunaan minyak dijangka berkurangan 2.5 peratus, menjadikannya penyusutan tahunan ketiga terbesar pernah direkodkan selepas 2020 dan 1980.

Harga tinggi ketika bekalan berkurangan sedang mengekang permintaan, manakala peralihan kepada penggunaan elektrik turut mengurangkan penggunaan minyak, khususnya di China.

Namun begitu, pengeluaran masih berada di bawah paras penggunaan. Keadaan ini memaksa lebih banyak stok minyak digunakan, sekali gus menyebabkan pasaran semakin terdedah kepada gangguan baharu.

Harga baja dijangka meningkat 14 peratus pada 2026, susulan lonjakan harga urea pada awal tahun yang kini telah reda, sebelum kembali ke paras 2025 pada 2027.

Harga logam pula dijangka mencapai paras tertinggi baharu pada 2026 dengan kenaikan 25 peratus, apabila harga aluminium, tembaga dan timah masing-masing mencatat rekod tertinggi.

Peningkatan itu mencerminkan permintaan kukuh daripada pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik dan pusat data, selain gangguan bekalan tahun ini. Harga logam dijangka merosot tiga peratus pada 2027.

Harga logam berharga diramalkan meningkat 40 peratus pada 2026 berikutan permintaan terhadap aset selamat yang kekal tinggi dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan dasar.

Harga dijangka reda sedikit pada 2027, namun kekal melebihi tiga kali ganda purata bagi tempoh 2015 hingga 2019.

Bahagian fokus khas laporan itu turut meneliti saling hubungan antara pasaran komoditi, iaitu sejauh mana perubahan harga sesuatu komoditi boleh dijelaskan oleh kejutan harga komoditi lain.

Kajian tersebut mendapati bahawa hubungan antara turun naik harga komoditi menjadi lebih ketara ketika ekonomi atau pasaran berada dalam tekanan, termasuk sejak bermulanya konflik semasa di Asia Barat.

Secara purata, logam perindustrian paling banyak menyebarkan kesan turun naik harga kepada kumpulan komoditi lain. Bagaimanapun, pengaruh harga minyak meningkat dengan ketara selepas tercetusnya konflik di Asia Barat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved