Siapa biayai 1,000 akaun palsu sasar Malaysia?

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 11:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siapa biayai 1,000 akaun palsu sasar Malaysia?

PETALING JAYA: UMNO menggesa pihak berkuasa menyiasat pendedahan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempengaruhi perbincangan politik di Malaysia.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO memandang serius laporan yang didedahkan Anthropic mengenai kira-kira 1,000 akaun X palsu, laman berita rekaan serta kandungan tuduhan palsu.

Beliau berkata, walaupun belum terdapat bukti bahawa operasi berkenaan berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, pendedahan itu tetap perlu diberi perhatian.

Malah, katanya, persoalan penting yang perlu dijawab ketika ini adalah pihak yang mengendalikan operasi tersebut, sumber pembiayaannya dan kepentingan yang ingin dicapai.

“Rakyat juga perlu lebih berhati-hati dengan apa yang mereka lihat di media sosial. Hari ini, sesiapa sahaja boleh mewujudkan halaman Facebook yang kelihatan seperti portal berita atau laman maklumat.

“Berita sebenar boleh dicampurkan dengan cerita separuh benar, tajuk mengelirukan atau fakta yang dikeluarkan daripada konteks sehingga akhirnya membentuk persepsi yang salah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan diterbitkan Anthropic.

MCMC dalam kenyataan berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan juga bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya itu.

Azalina berkata, perkara lebih membimbangkan adalah penggunaan akaun palsu atau bot berasaskan AI yang boleh digunakan untuk memanipulasi ruangan komen bagi menyokong sesuatu pihak atau menyerang pihak lain.

“Apabila perkara sama diulang oleh puluhan atau ratusan akaun, orang ramai boleh mendapat gambaran seolah-olah itulah pendapat majoriti rakyat.

“Banyak komen tidak semestinya bermakna ramai rakyat berpendapat begitu. Komen yang paling kuat, paling banyak atau paling kerap diulang juga tidak semestinya benar,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sendiri tidak terkecuali daripada serangan persepsi apabila sering digambarkan sebagai jahat, korup atau tidak beramanah melalui tuduhan yang diulang berkali-kali di ruangan komen.

“Pada masa yang sama, UMNO tidak mengatakan bahawa semua kritikan terhadap parti adalah palsu atau datang daripada bot.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik UMNO, kerajaan atau mana-mana pemimpin. Kritikan yang berasaskan fakta mesti dihormati,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa siasatan dan tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil termasuk terhadap penyokong parti pemerintah yang melanggar undang-undang.

“Demokrasi Malaysia mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk manipulasi dan campur tangan asing,” katanya. – UTUSAN

The post Siapa biayai 1,000 akaun palsu sasar Malaysia? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved