
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan terbabit dalam sebarang aktiviti mempengaruhi sentimen politik seperti dakwaan dalam laporan syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic.
MCMC berkata, pihaknya menyedari laporan berkenaan dan memandang serius perkara yang dibangkitkan.
“Untuk penjelasan, aktiviti seumpama yang dinyatakan dalam laporan itu bukan sebahagian daripada fungsi atau bidang kuasa MCMC dan MCMC tidak terbabit dalam aktiviti atau pengaturan sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Anthropic sebelum ini melaporkan Malaysia menjadi sasaran operasi manipulasi komersial berasaskan AI yang membabitkan lebih 1,000 akaun palsu di platform X, data pengundi serta sistem penyasaran berdasarkan kawasan pilihan raya bagi mempengaruhi sentimen politik.
Syarikat yang mengendalikan platform Claude itu berkata, operasi berkenaan dikesan selepas pihaknya mengenal pasti satu akaun yang menggunakan platform AI berkenaan untuk memanipulasi pilihan raya dengan menyasarkan pengguna di Malaysia.
Dalam pada itu, MCMC berkata, pihaknya sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi menentukan fakta serta menilai perkara yang dibangkitkan.
“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang tersedia serta dalam bidang kuasa MCMC, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan sekiranya perlu,” katanya.
Suruhanjaya itu berkata, usaha melindungi orang awam dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi antara tanggungjawab utamanya.
“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat serta dipercayai untuk Malaysia,” katanya.-UTUSAN
The post MCMC nafi manipulasi sentimen politik appeared first on Utusan Malaysia.





