
KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu menyiasat siapa dalang di sebalik operasi manipulasi digital menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk membabitkan kira-kira 1,000 akaun X palsu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan juga perlu mengenal pasti pihak yang membiayai operasi berkenaan serta kepentingan di sebaliknya.
Katanya, walaupun belum ada bukti operasi tersebut berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi, pendedahan berkenaan tetap perlu diberi perhatian serius.
Ini kerana katanya, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil dan sama rata tanpa mengira sama ada melibatkan penyokong parti pemerintah atau pembangkang.
“Jika penyokong parti pemerintah melanggar undang-undang, ambil tindakan. Jika penyokong parti pembangkang melanggar undang-undang, ambil tindakan.
“Undang-undang tidak boleh mempunyai satu ukuran untuk kawan dan satu lagi ukuran untuk lawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Gesaan itu susulan laporan Anthropic yang didedahkan dan dilaporkan Channel News Asia mengenai operasi melibatkan akaun palsu, laman berita rekaan serta kandungan yang mengandungi tuduhan palsu bagi mempengaruhi perbincangan politik.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan jumlah komen, tanda suka atau perkongsian di media sosial kerana ia tidak semestinya mencerminkan pandangan majoriti.
“Teknologi boleh menghasilkan seribu akaun dan seribu komen. Tetapi teknologi tidak boleh menentukan kebenaran dan apa yang sebenarnya rakyat rasai di bawah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UMNO gesa siasat dalang akaun palsu, berita AI – Azalina appeared first on Kosmo Online.






