
SEREMBAN: Menjelang istiadat pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan (Exco) esok, perhatian kini tertumpu kepada 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dipilih mengisi jawatan tersebut.
Sehingga kini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak mendedahkan nama-nama ADUN yang menjadi pilihan beliau untuk membawa negeri ini ke fasa baharu pentadbiran.
Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan kerjasamanya dalam pilihan raya itu, Perikatan Nasional (PN) meraih tujuh kerusi.
Secara pecahan, UMNO mempunyai 16 kerusi DUN, MCA (2), Pas (4) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) (3).
ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan telah menawarkan diri untuk tidak dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu dan segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beberapa ADUN yang dihubungi Utusan Malaysia pula enggan mendedahkan sama ada nama antara yang disenaraikan untuk menganggotai Exco dengan alasan mereka tidak tahu menahu mengenainya.
Namun, terdapat kemungkinan mereka yang telah menjadi Exco pada penggal yang lalu tidak disenaraikan.
Ini bermakna ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan Datuk Mohd. Faizal Ramli (Linggi) mungkin tidak disenaraikan.
Sungguh pun begitu, bekas Exco selama dua penggal antara 2008 hingga 2018, Datuk Zaifulbahri Idris yang juga ADUN Chembong dikatakan bakal kembali sebagai Exco.
Satu-satunya ADUN yang hampir pasti dilantik sebagai ahli Exco ialah ADUN Pilah, S. Lieza Md. Yasin bagi mengisi portfolio hal ehwal wanita.
Manakala ADUN Chennah, Siow Kong Choon yang menewaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di kerusi berkenaan dijangka dilantik menganggotai barisan Exco mewakili MCA.
Kali terakhir MCA menduduki kerusi Exco ialah pada 2008 hingga 2013 melalui Datuk Siow Chen Pin.
Selain tiga ADUN berkenaan, peluang kini dikatakan terbuka untuk tiga ADUN yang berpotensi disenaraikan sebagai Exco iaitu, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Suhaimizan Bizar (Gemencheh) dan Suhaimi Aini (Kota).
Sementara itu, sebanyak tiga Exco dijangka akan dilantik daripada PN dengan dua jawatan untuk Pas dan satu untuk Wawasan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa yang juga ADUN Serting dijangka mengisi satu jawatan tersebut manakala seorang lagi ialah bekas Exco, Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek yang memenangi kerusi DUN Ampangan.
Wawasan pula mempunyai tiga pilihan ADUN iaitu, Danni Rais (Klawang), Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).
Walaupun barisan Exco mempunyai 10 jawatan, difahamkan hanya sembilan orang yang mungkin dilantik esok dengan satu jawatan bakal diisi oleh pemimpin daripada kaum India pada masa akan datang.
Apa pun, jangkaan ini mungkin benar atau meleset sepenuhnya.
Istiadat pelantikan barisan Exco kerajaan negeri dijadualkan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pagi esok.-UTUSAN
The post Siapa dilantik Exco Negeri Sembilan? appeared first on Utusan Malaysia.






