Siapa pilihan Ismail Lasim? Senarai EXCO Negeri Sembilan diketahui esok!

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 3:44 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Teka-teki mengenai siapa yang bakal mengisi barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka terjawab pagi esok.

Image from: Siapa pilihan Ismail Lasim? Senarai EXCO Negeri Sembilan diketahui esok!

Memetik laporan Harian Metro, Istiadat pelantikan serta mengangkat sumpah jawatan EXCO kerajaan negeri dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada pukul 10 pagi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan bagi menerajui pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun.

Semalam, Ismail memaklumkan senarai penuh EXCO di bawah pentadbirannya sedang dimuktamadkan dan dijangka diumumkan pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Beliau turut berkata, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan mewujudkan jawatan Timbalan EXCO bagi memperkukuh serta melancarkan pentadbiran, namun jumlah pelantikan itu masih belum diputuskan.

Kini, perhatian tertumpu kepada siapakah yang akan dipilih bagi membantu Ismail mengemudi pentadbiran negeri sepanjang penggal baharu, selain memastikan amanah yang diberikan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Pada penggal 2023 hingga 2026, pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dibarisi 10 EXCO yang kesemuanya merupakan muka lama.

Namun, selepas PH tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, kerajaan negeri yang kini diterajui gabungan BN dan PN dijangka akan menampilkan gabungan wakil rakyat daripada kedua-dua parti untuk mengisi portfolio EXCO.

Hasrat Menteri Besar membentuk barisan pentadbiran yang mantap juga dijangka tidak berdepan kesukaran memandangkan BN, selain PN, memiliki ramai pemimpin yang berpengalaman dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Menurut sumber kepimpinan UMNO negeri, kemenangan BN di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi ruang kepada Ismail membuat pilihan terbaik dalam membentuk pasukan EXCO.

Image from: Siapa pilihan Ismail Lasim? Senarai EXCO Negeri Sembilan diketahui esok!

“Saya fikir Menteri Besar mempunyai banyak pilihan dan beliau boleh memilih dengan mudah barisan EXCO yang dimahukan kerana semua ADUN BN dan UMNO yang menang dalam pilihan raya ini mempunyai kelayakan, pengalaman serta kemampuan untuk menggalas tugas EXCO.
“Ada kemungkinan MB akan menggunakan formula 7:3 iaitu BN (tujuh jawatan EXCO) dan tiga bagi PN. Bagaimanapun kita nanti keputusan muktamadnya pada majlis pelantikan dan angkat sumpah di istana, esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara nama daripada UMNO yang disebut-sebut bakal menganggotai barisan EXCO ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang sebelum ini memegang portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, serta Datuk Mustapha Nagoor yang pernah menerajui portfolio Pembangunan Belia dan Sukan.

Mohd Faizal dan Mustapha dikatakan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik sepanjang hampir tiga bulan memegang portfolio berkenaan, sekali gus berpotensi dikekalkan dalam pentadbiran baharu.

Selain itu, beberapa lagi nama yang turut disebut ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin; ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Pilah, S. Leza Md. Yasin; dan ADUN Chennah, Siow Kong Choon.

Bagi PN pula, wakil daripada PAS yang dijangka mengisi jawatan EXCO ialah ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Malek, manakala Parti Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) dijangka diwakili ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad.

Artikel lain: Ismail Lasim mulakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini

Dalam pada itu, kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, masih menjadi tanda tanya. Walaupun dikatakan tidak menawarkan diri untuk menyertai barisan pentadbiran baharu, beliau dijangka tetap tersenarai sebagai EXCO Kanan.

Sumber: Harian Metro (Mohd Amin Jalil)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved