Ahmad Maslan mahu kerjasama BN-PN di Melaka diteruskan hadapi PRN

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 2:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahmad Maslan mahu kerjasama BN-PN di Melaka diteruskan hadapi PRN
Ahmad

SHAH ALAM – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka wajar diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan rekod kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kejayaan BN mempertahankan Johor dan merampas semula pentadbiran Negeri Sembilan jelas memperlihatkan formula yang digunakan berjaya.

"Pada pandangan peribadi saya, selepas melihat kejayaan persefahaman atau separa persefahaman di Johor, saya berpandangan kerjasama itu boleh diteruskan.

"Saya kata separa persefahaman kerana terdapat 11 kerusi yang ditandingi PN atas nama mereka sendiri. Namun, pemimpin mereka turut menyatakan bahawa di kawasan yang PN tidak bertanding, penyokong mereka perlu mengundi BN," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Karangkraf di sini pada Khamis.

BN dan PN sebelum ini bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan sebelum membentuk kerajaan selepas kedua-dua gabungan memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerjasama yang lebih menyeluruh di Negeri Sembilan sebelum ini membuahkan hasil apabila tiada pertembungan antara BN dan PN.

"Di Negeri Sembilan, persefahaman berlaku sepenuhnya apabila hanya 25 kerusi ditandingi BN, manakala 11 lagi diberikan kepada PN. Tidak berlaku pecah undi dan hasilnya kita memperoleh 25 kerusi, iaitu 18 dimenangi BN dan tujuh oleh PN.

"Kalau kita berpecah, saya rasa kita tidak akan memperoleh 25 kerusi itu. Sebab itu, pada pandangan peribadi saya, kerjasama tersebut perlu diteruskan di Melaka," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan politik di Melaka kini berbeza selepas Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada kerajaan negeri.

"PH yang menarik diri daripada Kerajaan Melaka. Jadi, jangan salahkan kami kerana tidak bersama PH, sebab PH yang membuat keputusan untuk menarik diri," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengakui PN tidak mempunyai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini kerana tewas di semua kerusi yang ditandingi. Namun, beliau berpandangan gabungan itu masih mempunyai kelompok penyokong yang perlu diberi perhatian.

"Walaupun PN tidak mempunyai satu kerusi pun kerana kalah di semua kawasan, mereka tetap mempunyai penyokong yang tertentu.

"Saya kira rundingan perlu dibuat dengan teliti bersama PN yang dianggotai Pas, Gerakan dan Parti Wawasan Negara (Wawasan)," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pembubaran DUN lebih awal bagi membolehkan PRN diadakan, Ahmad Maslan berkata, perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved