Siapa sakau hasil sawit RM107 juta?

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 9:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Siapa sakau hasil sawit RM107 juta?

KUANTAN – Hasil sawit seluas kira-kira 7,000 hektar boleh menjadikan sesiapa sahaja kaya raya apabila hasil jualan tahunan sawit seluas itu dikatakan mencecah kira-kira RM107 juta.

Persoalannya, siapakah yang ‘sakau’ ­keuntungan luar biasa itu daripada kegiatan penanaman kelapa sawit dan tanaman kontan lain secara haram di Hutan Simpan Kekal Tapak Lembap Berkepen­tingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera di sini?

Ini kerana, bagi kawasan seluas 7,000 hektar itu, tanaman sawit mampu menghasilkan sehingga 126,000 tan setahun dengan purata 18 tan bagi setiap hektar.

Berdasarkan hasil tersebut, jika dikira secara purata harga jualan sawit adalah RM850 satu tan, jumlah jualan bagi 126,000 tan setahun adalah kira-kira RM107 juta.

Kemuncak hasil boleh dipu­ngut ketika pokok kelapa sawit berusia lapan tahun dan boleh dinikmati sehingga 20 tahun.

Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, meskipun mengambil masa tiga tahun untuk berbuah, keuntungan selepas itu adalah lumayan dengan puncak hasil adalah ketika sawit berumur lapan hingga 20 tahun.

Image from: Siapa sakau hasil sawit RM107 juta?
PENCEROBOHAN di Ramsar, Tasik Bera dilakukan sindiket yang berselindung di sebalik nama Orang Asli melalui penggunaan isu tanah adat dan kawasan rayau etnik itu bagi membuka tanah secara haram.

Katanya, dengan keluasan kira-kira 7,000 hektar, hasil bersih yang boleh diperolehi setahun adalah mencecah puluhan juta ringgit.

“Dengan purata 18 tan sehektar hasil sawit daripada 7,000 hektar ini boleh mencecah sehingga 126,000 tan setahun.

“Jadi daripada jumlah itu, jika purata jualan sawit setan adalah RM850 setan, hasil jualan adalah kira-kira RM107 juta,” katanya di sini.

Menurutnya, purata hasil ladang yang diuruskan pekebun kecil adalah antara 15 hingga 20 tan satu hektar setahun, manakala bagi ladang diurus dengan baik hasilnya boleh mencecah antara 22 tan hingga 25 tan setahun.

Katanya, unjuran harga kilang adalah antara RM790 hingga RM980 satu tan dengan purata harga tahun lalu adalah sebanyak kira-kira RM931 satu tan.

Jelasnya, sekiranya harga kelapa sawit RM850 satu tan dengan hasil 18 tan, pendapatan kasar setahun bagi satu hektar adalah RM15,300 atau RM1,275 sebulan bagi satu hektar.

“Berdasarkan rekod kawasan sawit seluas 7,000 ekar dengan umur sawit 10 hingga 15 tahun dengan jagaan baik boleh dapat keuntungan bersih RM23 juta setahun,” ujarnya

Kosmo! pada 20 September lalu mendedahkan Ramsar Tasik Bera yang diiktiraf sejak 1994 itu kini ­berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit dan getah serta pelbagai tanaman kontan lain.

Dakwaan mengatakan pena­naman berlaku di hampir seluruh kawasan Ramsar pertama negara itu, dengan kurang daripada separuh kawasan hutannya yang masih bertahan.

Susulan itu juga wujud ­per­so­alan mengenai siapakah dalang yang membiayai kegiatan pe­nerokaan sawit secara haram itu kerana kegiatan berskala besar di atas tanah seluas kira-kira 7,000 hektar itu memerlukan modal yang luar biasa mencecah jutaan ringgit.

Kos untuk membeli benih sawit sahaja dianggarkan sebanyak RM19.6 juta, itu belum dikira dengan perbelanjaan membersihkan tanah yang dikatakan mencecah RM4,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Jadi dengan nilai pelaburan yang tinggi, mustahil kegiatan penerokaan dan penanaman sawit di kawasan itu digerakkan tanpa sokongan pihak atau individu yang mempunyai modal besar serta kekayaan luar biasa.

The post Siapa sakau hasil sawit RM107 juta? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved