amree21/09/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – Langkah Harvest Miracle Capital Berhad melupuskan keseluruhan pegangan dalam perniagaan perladangan kelapa sawit pada harga RM51.6 juta menyaksikan ia mencatat lonjakan hasil lebih dua kali ganda bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Pelupusan 100% pegangan ekuiti dalam Teras Gemumi Sdn Bhd kepada Ree Fong Agriculture Sdn Bhd itu dibuat ketika kumpulan sedang menyusun semula fokus perniagaannya, dengan pendapatan meningkat daripada RM124.31 juta pada FY25 kepada RM268.35 juta pada FY26.
Menerusi laporan tahunan kepada Bursa Malaysia, ia berkata pelupusan membolehkan kumpulan mengoptimumkan pengagihan modal dan memberi tumpuan sektor teras seperti perdagangan bahan binaan, teknologi maklumat (IT), hartanah serta perkhidmatan pinjaman wang berlesen.
"Pertumbuhan hasil kumpulan pula dipacu terutamanya oleh prestasi perniagaan perdagangan bahan binaan menerusi anak syarikatnya, Miracle Nexus Supply Sdn Bhd, yang mencatatkan hasil RM135.91 juta berbanding RM9.19 juta pada FY25," jelas Harvest Miracle.
Bagi segmen hartanah pula jelasnya, kumpulan berkenaan mencapai perkembangan penting menerusi pembukaan dan pengoperasian aset Antara Genting di Genting Highlands, Pahang secara berperingkat sejak pertengahan Ogos 2025.
Peralihan aset pembangunan kepada hartanah yang menjana pendapatan berulang itu menyaksikan nilai hartanah pelaburan kumpulan meningkat kepada RM279.10 juta daripada RM209.40 juta pada FY25, disokong keuntungan nilai saksama sebanyak RM32.87 juta.

Harvest Miracle menambah, segmen IT dan tekenologi komunikasi maklumat (ICT) kekal sebagai antara penyumbang utama dengan hasil RM98.18 juta pada FY26, meningkat daripada RM89.09 juta setahun sebelumnya, menerusi aktiviti pengedaran perkakasan dan rumusan teknologi.
"Segmen perkhidmatan pinjaman wang berlesen menerusi Valhalla Capital Sdn Bhd pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM5.25 juta, dengan kira-kira 82% daripada keseluruhan pinjaman disalurkan kepada peminjam korporat," katanya lagi.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan itu meningkat kepada RM537.48 juta daripada RM478.19 juta, manakala jumlah ekuiti kumpulan bertambah kepada RM463.38 juta pada akhir FYE2026.
Ia turut memaklumkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-30 akan diadakan pada 29 September 2026 di Petaling Jaya, Selangor dengan firma BDO PLT tidak berhasrat dilantik semula sebagai juruaudit dan proses pelantikan juruaudit baharu sedang dijalankan.
Mengulas prospek, Lembaga Pengarah kekal optimis terhadap pemulihan sektor pembinaan dan hartanah tempatan, khususnya di koridor pertumbuhan Johor yang dipacu impak Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta projek pembangunan infrastruktur. - DagangNews.com






