
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bukan hanya pasangan suami isteri malah ahli keluarga terdekat juga teruja menanti kehadiran si comel.
Bila sebut tentang bayi yang bakal lahir, antara perkara yang menjadi perhatian adalah pemberian nama.
Kadangkala, proses memberi nama bayi boleh menjadi rumit sehingga timbulnya isu lebih-lebih lagi jika terdapat pelbagai pendapat mengenai pemberian nama yang sesuai buat si comel.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang lebih berhak memberi nama kepada bayi yang bakal lahir? Adakah si ibu yang melahirkan? Atau bapa bayi itu sendiri? Atau ahli keluarga lain?
Bapa Lebih Berhak Memberi Nama Kepada Bayi Yang Baru Lahir, Diikuti Datuk
Menurut pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu hantaran di Instagram miliknya, orang yang lebih berhak menentukan nama bayi yang baru lahir adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.
Menerusi hantaran itu, UAI turut berkongsi pandangan beberapa ulama mengenai hak pemberian nama kepada anak.
Berdasarkan pandangan Syeikh Ramli As-Syafie, bapa lebih berhak memberi nama anak dan diikuti dengan datuk.
“Berkata Syeikh Ramli As-Syafie:
التسمية حق من له الولاية، من الأب -وإن لم تجب عليه نفقته لفقره- ثم الجد
“Ertinya: ‘Menamakan anak ialah hak orang yang mempunyai kekuasaan atasnya iaitu bapanya sekalipun tidak menanggung nafakahnya sebab faqir kemudian datuknya, (Nihayatul Muhtaj),” kongsi UAI
Malah, UAI turut berkongsi beberapa pandangan ulama lain yang menguatkan lagi bahawa si bapa lebih berhak memberikan nama kepada anak.
“Dan berkata Imam Al-Mardawi Al-Hanbali:
وهي حق للأب لا للأم
“Ertinya: ‘Dan menamakan anak itu hak bagi bapa bukan bagi ibu,’ (Kitab Al-Insaf fi Ma’rifatil Rajih Minal Khilaf).
“Dan berkata Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Alish Al-Maliki:
تسمية المولود حق أبيه
“Ertinya: ‘Menamakan bayi yang baru dilahirkan itu ialah hak bapanya,’ (Kitab Manhil Jalil Syarah Mukhtasar Khalil),” jelas UAI.
Pasangan Suami Isteri Perlu Saling Bertolak Ansur & Berbincang Mengenai Pilihan Nama Anak
Namun jelas UAI, pasangan suami isteri perlu saling bertolak ansur dan berbincang mengenai pilihan nama yang baik untuk anak.
Tambah UAI, ia juga tidak seharusnya dijadikan pertikaian buat suami isteri.
“Akan tetapi sebaiknya hendaklah pasangan suami isteri tersebut bertolak ansur dan bermesyuarah supaya dinamakan anak tersebut dengan nama yang baik dan tidak sampai berlaku permusuhan.
“Berkata Dr Nuh Sulaiman, Mufti Palestin :
يُستحب التعاون والتشاور بين الوالد والوالدة حتى يختاروا الاسم الحسن المناسب لطفلهم، وأن لا يكون هذا الأمر سبباً للشقاق والنزاع، فقد قال تعالى: وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
“Ertinya: ‘Disunatkan bertolongan dan bermesyuarah antara bapa dan ibu kanak-kanak sehingga memilih oleh mereka akan nama yang baik dan sesuai bagi anak mereka itu. Dan janganlah perkara ini menjadi sebab bermusuh dan berbalah. Maka sungguhnya Allah telah berfirman: Dan bermesyuarahlah pada pekerjaan mereka itu.’ (As-Syura: 38),” kongsinya.
Tak Salah Ibu Beri Nama Jika Nama Yang Baik
Jelas UAI lagi, adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya ibu kepada bayi tersebut untuk menamakannya jika dia mempunyai nama yang baik.
View this post on Instagram
Waktu Terbaik Beri Nama Anak Sebaiknya Pada Hari Kelahiran
Sekadar info, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan hukumnya adalah harus memberi nama bayi pada bila-bila masa.
Namun laman itu berpendapat bayi yang baru dilahirkan sebaiknya diberi nama pada hari kelahiran.
“Berkenaan dengan waktu yang terbaik untuk memberikan nama kepada bayi, kami cenderung untuk memilih pendapat bahawa bayi yang baru dilahirkan adalah sebaiknya diberikan nama pada hari kelahirannya.
“Hari ketujuh pula boleh dijadikan hari pengisytiharan nama bayi tersebut kepada sanak-saudara dan orang lain dan ia sangat bersesuaian jika pada hari tersebut juga diadakan majlis aqiqah untuk bayi tersebut,” jelas mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Letak Nama Nabi & Manusia Pada Haiwan Peliharaan? Ini Yang Patut Korang Tahu [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Makhruh Hukum Letak Nama Anak Tanpa Makna, Kata UAI [Video]



![Apa Hukum Tak Hadir Jemputan Kenduri Kahwin Sebab Alasan Duduk Jauh? Ini Penjelasan UAI [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/penuhi-undangan-majlis-perkahwinan.jpg?t=1786329616)